4.1. Mengenal Allah dan Mengetahui Sifat-SifatNya
4.1.1. Kepercayaan yang pertama : Taqlid Jazmi
4.1.2. Kepercayaan kedua : Taqlid Yang Tiada Jazam
KENYATAAN YANG KETIGA: MENGENAL TUHAN DAN MENGETAHUI SIFAT-SIFATNYA
Mengenal Tuhan itu fardhu ‘ain atas tiap-tiap mukallaf dengan mengetahui namaNya dan sifatNya yang disuruh oleh syara’ Asy-Syarif dengan ajaran daripada rasul-rasul. Maka bagi Tuhan ada banyak nama-nama yang molek (Al-Asma’ul-Husna) dan sifat-sifat yang Maha Besar dan yang Maha Tinggi. Nama Tuhan yang lebih masyhur di antara segala nama-namaNya ialah Allah, disebut lafaz Al-Jalalah (lafaz Yang Maha Besar), maka yang lain daripada ini diketahui daripada Qur’an dan Hadith, semuanya itu masyhur di sisi orang Islam sebahagian daripadanya Ar-Rahman, Ar-Rahim, Al-Quddus, As-Salam, Al-Mu’min.
Sifat-sifat yang diketahui oleh mukallaf terbahagi kepada dua bahagi:
1. Mengetahui sifat-sifat Tuhan dengan ajmali (ringkasan) iaitu bahawa beri’tiqad dan berpegang oleh seseorang dengan i’tiqad yang putus bahawasanya wajib bagi Allah Ta’ala bersifat dengan tiap-tiap sifat kesempurnaan yang layak dengan keadaan ketuhanan dan mustahil atasnya bersifat dengan apa-apa jua sifat kekurangan.
2. Mengetahui sifat-sifat Tuhan dengan jalan tafsili (satu-persatu) iaitu bahawa beri’tiqad dan berpegang oleh seseorang dengan i’tiqad yang putus dengan dalil ‘aqli dan naqli bahawasanya wajib bagi Allah Ta’ala dua puluh sifat yang wajib dan beri’tiqad dengan i’tiqad yang putus dengan dalil ‘aqli dan naqli bahawasanya mustahil atas Allah Ta’ala bersifat segala lawan sifat yang wajib dua puluh itu.
Adalah dikehendaki dengan mengenal Tuhan itu hendaklah mengetahui tiga perkara, iaitu :
Pertama : i’tiqad yang putus (tiada syak, zhan, waham) kiranya i’tiqadnya tidak putus seperti ada i’tiqadnya syak, zhan, atau waham, maka tidak dinamakan mengenal.
Kedua : muafakat (bersetuju) i’tiqad itu dengan yang sebenar (berbetulan i’tiqad ini dengan i’tiqad ahli As-Sunnah wal-Jama’ah) maka tiada dinamakan mengenal jika i’tiqad itu tidak berbetulan dengan yang sebenar, seperti i’tiqad orang Nasrani dan Yahudi.
Ketiga ; dengan ada dalil sekalipun dengan dalil ijmali, sebaliknya jika i’tiqadnya putus serta muafakat dengan sebenar tetapi tidak dengan dalil, maka dinamakan taqlid.
Ada pun i’tiqad yang tiada putus atau tiada muafakat dengan yang sebenar maka dengan ittifaq ‘ulama’ menghukumkan kafir, dan i’tiqad orang yang bertaqlid itu bersalah-salahan ‘ulama’ padanya, maka mengikut qaul yang mu’tamad orang yang bertaqlid itu tidak dihukumkan kafir jika taqlidnya itu putus tetapi dihukumkan dia mu’min yang menderhaka jika kuasa ia mengadakan dan mendirikan dalil dengan belajar, kiranya tidak terdaya mendirikan dalil kemudian daripada telah belajar dengan sebab bodohnya maka tiada dihukumkan derhaka.
Adalah makna taqlid itu iaitu menerima perkataan orang lain dengan tidak mengetahuikan dalil dan keterangan. Maka taqlid itu terbahagi kepada dua bahagian:
Kepercayaan Yang Pertamav: Taqlid Jazmi.
Ertinya:
Kepercayaan itu terlekat betul di mata hatinya dengan teguh dan kuat serta tidak akan berubah atau terbalik semula jika orang yang diikuti itu berbalik sekalipun. Maka taqlid yang seperti ini di sisi ahli As-Sunnah wal-Jama’ah
sah imannya kerana ada mempunyai jazam.
Kepercayaan Yang Kedua : Taqlid Yang Tiada Jazam:
Ertinya:
Menerima perkataan orang lain dengan tiada teguh dan tiada kuat sekiranya orang yang diikuti seperti gurunya-gurunya, ibu-bapanya atau lainnya.
Berbalik i’ti’qadnya, maka iapun mengikut berbalik jua, maka taqlid yang seperti ini dihukumkan tiada sah imannya kerana serupa imannya dengan syak, zhan atau waham (yang tiada jazam).
Tegasnya adalah iman orang yang bertaqlid sentiasa di dalam khathar (bahaya) dan kebimbangan dan tergantung kebenarannya atas orang yang diikutinya. Jika benar perjalanan orang yang diikutnya dan yang dipegangnya seperti guru-gurunya, maka yang mengikutnya itu benarlah jua, tetapi jika ada sebaliknya binasalah ia bersama-sama dengan orang yang diikumya.
Dari itu hendaklah seseorang bersungguh-sungguh menuntut ‘ilmu ‘aqaid al-iman yang shahih supaya terlepas ia daripada syak dan waham di dalam iman, tidak pakai ikut-ikut sahaja, istimewa zaman sekarang masa yang telah zahir beberapa banyak ah1ibid’ah.
Maka taqlid itu mudharat kerana ialah jalan yang membawa kepada sesat yang amat hina yang tiada layak sekali-kali dengan hal seorang manusia.