Penerima Satu Perenam dan Syaratnya
Terdapat tujuh pewaris yang memperoleh satu perenam pusaka dan masing-masing tertakluk kepada syarat-syarat
1. Bapa
Bapa memperoleh satu perenam (1/6) pusaka dengan satu syarat iaitu wujudnya furu waris si mati seperti anak lelaki, anak perempuan, anak lelaki kepada anak lelaki atau anak perempuan kepada anak lelaki.
Walau bagaimanapun jika bapa wujud bersama anak perempuan (al-bint) atau anak perempuan kepada anak lelaki (bintul ibni), dia memperoleh satu perenam (1/6) melalui fardh. Jika terdapat baki setelah dibahagikan kepada pewaris melalui fardh dia akan mengambil haknya melalui ’ashobah. Kes ini akan diperjelaskan di tempatnya.
2. Ibu
Ibu memperoleh satu perenam (1/6) pusaka dengan dua syarat:
i. Jika wujud furu waris si mati sama sebagaimana bahagian bapa. ‘
ii. Jika si mati mempunyai dua orang atau lebih adik beradik sama ada seibu sebapa, sebapa atau seibu.
Dalilnya ialah firman Allah:
Dan bagi ibu bapa si mati, bagi setiap seorang daripada mereka berdua, satu perenam daripada harta yang ditinggalkan oleh si mati, jika dia mempunyai anak. (An-Nisa’: 11)
Allah juga berfirman mengenai syarat kedua bagi melayakkan ibu menerima satu perenam (1/6):
Seterusnya, jika si mati mempunyai beberapa orang adik beradik, maka bagi ibunya satu perenam. (An-Nisa’: 11)
3. Datuk iaitu Bapa kepada Bapa
Dia memperoleh satu perenam (1/6) pusaka jika memenuhi syarat-syarat berikut:
i. Wujud furu waris si mati sama sebagaimana bahagian bapa.
ii. Si mati tidak mempunyai bapa. Ini kerana bapa akan menghalang datuk daripada menerima pusaka kerana bapa lebih hampir kepada si mati daripadanya.
Dalil datuk memperoleh satu perenam (1/6) pusaka ialah ijmak ulamak dan ayat yang menyebut bahawa bapa memperoleh satu perenam (1/6). Kedudukan datuk sama seperti bapa.
4. Seorang Nenek atau Ramai .
Nenek sama ada sebelah bapa atau sebelah ibu berhak menerima satu perenam (1/6) pusaka dengan satu syarat sahaja iaitu tiada ibu si mati.
Begitulah juga nenek-nenek si mati berhak menerima satu perenam (1/6) pusaka jika mereka juga adalah waris. Jika seseorang mati meninggalkan seorang nenek, ibu kepada bapanya dan nenek, ibu kepada ibunya, kedua-dua nenek ini berhak memperoleh satu perenam (1/6) pusaka dan dibahagikan sama rata di antara mereka.
Dalam pada itu, nenek, ibu kepada bapa boleh dihalang oleh anaknya sendiri iaitu bapa kepada si mati jika bapa si mati masih hidup. Ini berdasarkan kaedah “Sese0rang yang dihubungkan kepada si mati melalui perantaraan maka perantara tersebut akan menghijabnya (menghalangnya daripada mendapat pusaka).”
Dalil nenek memperoleh satu perenam (1/6) pusaka ialah hadis:
Nabi s.a.w. menetapkan hak satu perenam daripada pusaka kepada dua orang nenek.‘
Daripada Qubaisah bin Zuaib katanya: Seorang nenek datang menemui Abu Bakar bertanya tentang pusakanya. Kata perawi: Beliau menjawab: Menurut Kitab Allah, engkau tidak mendapat sebarang hak. Demikian juga menurut sunnah Rasulullah s.a.w.. Baliklah dahulu, saya akan tanyakan hal ini kepada orang lain. Lalu al-Mughirah bin Syukbah berkata: Saya pernah bersama-sama Rasulullah s.a.w. dan baginda menyerahkan satu perenam untuknya (nenek). Abu Bakar bertanya: Apakah ada orang lain bersama engkau. Lalu Muhammad bin Maslamah al-Anshori bangun dan berkata sebagaimana yang diperkatakan oleh al-Mughirah bin Syukbah lantas Abu Bakar pun melaksanakannya. Kata perawi: Kemudian seorang nenek datang menemui Umar bin al-Khattab bertanya tentang pusakanya. Beliau menjawab: Menurut Kitab Allah, engkau tidak memperoleh apa-apa cuma satu perenam itu sahaja. Jika kamu berkongsi (lebih daripada seorang), ia dibahagikan antara kamu. Jika ada yang menolaknya, ia menjadi hak kepada kongsinya.
Ulamak telah ijmak bahawa nenek hanya memperoleh satu perenam (1/6) ketika bersendirian atau ketika lebih daripada seorang.
5. Seorang atau Lebih Anak Perempuan kepada Anak Lelaki (bintul ibni)
Seorang atau lebih anak perempuan kepada anak lelaki menerima satu perenam (1/6) pusaka jika memenuhi syarat-syarat berikut:
i. Dia atau mereka hendaklah bersama-sama anak perempuan tunggal (bint wahidah) si mati.
ii. Si mati tidak mempunyai anak lelaki.
iii. Tiada anak lelaki kepada anak lelaki (ibnul ibni) yang akan menjadikan mereka ‘ashobah.
Jika syarat-syarat ini ada, mereka layak menerima satu perenam (1/6) bagi menggenapkan dua pertiga (2/3).
Dalilnya adalah hadis:
Abu Musa pernah ditanya tentang suatu kes iaitu jika terdapat seorang anak perempuan (al-bint), seorang anak perempuan kepada anak lelaki (bintul ibni) dan seorang adik beradik perempuan (ukht) seibu sebapa. Beliau menjawab untuk anak perempuan (al-bint) satu perdua, untuk adik beradik perempuan seibu sebapa (ukht) satu perdua. Pergilah kepada Ibnu Mas’ud nescaya beliau akan mempersetujui kataku ini. Lalu Ibnu Mas’ud ditanya tentang perkara ini dan beliau diberitahu tentang pandangan Abu Musa. Beliau menjawab: Kalau begitu aku pasti tersesat dan tergolong dalam golongan yang tidak mendapat petunjuk. Aku akan menjawab sebagaimana yang ditetapkan oleh Nabi s.a.w : Untuk anak perempuan satu perdua, untuk anak perempuan kepada anak lelaki (bintul ibni) satu perenam menggenapkan dua pertiga dan selebihnya untuk adik beradik perempuan.
Lalu kami pergi berjumpa Abu Musa dan kami beritahu beliau pandangan Ibnu Mas’ud tadi. Beliau berkata: Jangan tanya aku perkara ini selagi mana ‘alhibr’(gelaran bagi Ibnu Mas’ud) ini masih ada bersama kamu.3
6. Seorang atau Lebih Adik Beradik Perempuan Sebapa (ukhi min al-Ab)
Adik beradik perempuan sebapa sama ada seorang atau ramai memenuhi syarat-syarat berikut :
i. Si mati tiada furu’ waris seperti anak lelaki atau anak lelaki kepada anak lelaki (ibnul ibni) atau anak perempuan kepada anak lelaki (bintul ibni).
ii. Si mati juga tidak mempunyai usul waris iaitu bapa atau datuk, bapa kepada bapa.
iii. Si mati tidak mempunyai adik beradik lelaki seibu sebapa (akh syaqiq).
iv. Bersama-sama dia terdapat seorang adik beradik perempuan seibu sebapa.
v. Tiada bersama~sama dia adik beradik lelaki sebapa (akh lil-Ab) yang akan menjadikan dia ‘ashobah.
Jika syarat-syarat ini wujud, adik beradik perempuan sebapa sama ada seorang atau ramai memperoleh satu perenam (1/6). Dulilnya adalah ijmak ulamak dan qias yang menyamakannya dengan anak-anak perempuan kepada anak lelaki (banat al~ibni). Jika bersama anak perempuan tunggal (bint wahidah).
7. Adik Beradik Lelaki atau Perempuan Seibu
Adik beradik lelaki atau perempuan seibu akan memperoleh satu perenam (1/6) dengan dua syarat:
i. Tiada bersama mereka furu’waris atau usul si mati yang akan menghalang mereka.
ii. Dia (adik beradik lelaki atau perempuan seibu) hanya seorang. Jika ramai, mereka akan berkongsi satu pertiga (1/3).
Berkenaan pusaka satu perenam (1/6) untuk adik beradik lelaki atau perempuan seibu Allah berfirman:
Jika si mati, lelaki atau perempuan, diwarisi dalam keadaan tidak mempunyai anak dan bapa, tetapi mempunyai seorang adik beradik lelaki atau perempuan (yang seibu), maka setiap seorang daripada mereka berdua mendapat satu perenam. (An-Nisa’: 12)
Imam ar-Rahabi menyebut dalam nazamnya tentang pewaris yang memperoleh satu perenam ( 1/6):
Satu perenam adalah untuk tujuh golongan;
Ab, Umm, bintul ibni dan Jadd.
Ukht lil-Ab kemudian nenek
dan akhirnya anak-anak ibu menyempurnakan bilangan.
Ab memperoleh bahagiannya jika bersama al-Walad,
begitu juga ibu. Mereka memperolehnya melalui firman Ilahi
Begitu juga, jika mereka (ayah dan ibu) bersama walad al-ibni,
hukum ini masih diikuti.
Dia (ibu) juga memperolehnya jika ada dua orang adik beradik si mati,
oleh itu jadikan ia sebagai qias.
Jadd sama seperti Ab jika si Ab tiada.
dalam menerima bahagian yang ditentukan untuknya.
Bintul ibni menerima satu perenam
jika bersamanya al-bint yang setaraf dengannya.
Demikian juga ukht li-ab jikq bersama ukht li-abawain,
wahai adik beradikku ikutlah.
Satu perenam juga bahagian nenek ;
sama ada seorang atau ramai, melalui ibu atau melalu bapa.
Walad al-umm juga menerima satu perenam
dengan syarat dia seorang
Jika kesemua nenek ini setaraf
mereka semua adalah pewaris ,
Satu perenam ini adalah untuk mereka
dibahagikan dengan saksama menurut syarak.
_______________________________________
1 Riwayat al-Hakim (4/340) dalam al-Mustadrak berdasarkan syarat Bukhari dan Muslim dalam [Kitab Faraidh, Bab Satu Perenam Untuk Nenek Dibahagi Sama Rata].
2 Riwayat Tarmizi (2102) dalam [Kitab Faraidh, Bab Hadis Berkenaan Pusaka Nenek]. Juga diriwayatkan oleh perawi lain
3. Riwayat Bukhari (6355) dalam [Kitab Faraidh, Bab Pusaka Anak perempuan anak lelaki bersama anak perempuan si mati]