Orang-orang Lelaki yang Boleh Mewarisi

Orang-orang Lelaki yang Boleh Mewarisi

Terdapat 10 golongan lelaki yang boleh mewarisi harta melalui hubungan keturunan, perkahwinan dan wala‘, iaitu:

  1. Anak lelaki (al-ibnu).
  2. Anak lelaki kepada anak lelaki (ibnul ibni) dan ke bawah.
  3. Bapa (al-ab).
  4. Datuk (al-jadd) iaitu bapa kepada bapa, sehingga ke atas.
  5. Adik beradik lelaki (al-akh) seibu sebapa, sebapa atau seibu.
    Al-Quran telah meletakkan hak mutlak kepada semua adik beradik lelaki untuk mewarisi harta. Walau bagaimanapun, hak mereka berbeza mengikut kedudukan (seibu sebapa, sebapa atau seibu).
  6. Anak lelaki kepada adik beradik lelaki seibu sebapa (ibnu akh syaqiq) dan sebapa (ibnu akh minal ab). Adapun anak lelaki kepada adik beradik lelaki seibu (ibnu akh minal umm), maka dia termasuk dalam golongan Zawil Arham (kaum kerabat yang tidak mewarisi) dan tidak berhak rnenerima pusaka secara Fardh.
  7. Bapa saudara sebelah bapa seibu sebapa (amm syaqiq) dan sebapa (amm minal ab). Adapun bapa saudara sebelah bapa seibu (amm minal umm), maka dia tidak berhak menerima pusaka secara Fardh, kerana dia termasuk Zawil Arham.
  8. Anak lelaki kepada bapa saudara sebelah bapa seibu sebapa (ibnu amm syaqiq) dan sebapa (ibnu amm minal ab). Adapun anak lelaki kepada bapa saudara sebelah bapa seibu (ibnu amm minal umm), maka dia tidak berhak menerima pusaka secara fardh, kerana dia termasuk Zawil Arham.
  9. Suami (az-zauj).
  10. Lelaki yang memerdekakan hamba (al-mu ’tiq). Mereka adalah golongan ’ash0bah dengan diri sendiri.

Jika kita ingin menghitung mereka satu persatu, mereka boleh  dibahagikan kepada lima belas (15) golongan.
Ini kerana golongan kelima mengandungi tiga pecahan, golongan keenam mengandungi dua pecahan, golongan ketujuh mengandungi dua pecahan, dan golongan kelapan juga mengandungi dua pecahan.

Imam ar-Rahabi menyebut dalam nazam ar-Rahabiyyah karangannya:

Pewaris-pewaris lelaki ada sepuluh. Nama-nama mereka diketahui dan terkenal.
Al-ibnu, ibnul ibni sekalipun turun ke bawah, al-ab, al-jadd sekalipun tinggi ke atas,
al-akh dari mana-mana arah sekalipun, sesungguhnya Allah telah menurunkan al-Quran dengan hak mereka.
Ibnul akh yang berhubung dengan si mati melalui bapanya, maka dengarlah kata-kata yang tidak didustakan ini.
Al-Amm dan ibnul amm melalui bapanya, Maka bersyukurlah kerana ringkasan dan peringatan ini.
Az-Zauj dan pembebas hamba yang memiliki wala‘, maka jumlah waris-waris lelaki inilah semuanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *