Takrif Jual Beli

JUAL BELI

Takrif

Al-bai’ (jual beli) daripada segi bahasa ialah pertukaran sesuatu dengan sesuatu, sama ada kedua-duanya dalam bentuk benda atau bukan benda. Allah s.w.t. berfirman:

Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang yang beriman akan jiwa-raga dan harta-benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga. (At-Taubah: 111)

Kemudian, Allah s.w.t. berfirman: A

Oleh itu, bergembiralah dengan jual beli kamu yang kamu telah jalankan itu. .(At-Taubah: 1 1 1)

Al-Bai’ dan asy-syira‘ dalam bahasa Arab boleh digunakan untuk makna jual dan juga beli. Maksudnya, kedua-dua istilah ini boleh digunakan untuk merujuk kepada makna yang sama.

Contohnya firman Allah:

Dan (setelah berlaku perundingan), mereka menjualnya dengan harga yang murah. (Yusuf: 20)

Maksud asy-syira‘ dalam ayat ini ialah menjual.

Sementara dalam sebuah hadis, ada dinyatakan:

Janganlah seseorang itu menjual atas jualan saudaranya.

Maksud menjual atas jualan di sini sebenarnya ialah jangan membeli.

Menurut kamus Mukhtar ash-Shihah, sebenarnya larangan ini ditujukan kepada pembeli, bukan kepada penjual.

Penjual dan pembeli juga ada disebutkan sebagai dua orang penjual (al-bayyi’an). Ini ada dinyatakan oleh sebuah hadis yang akan dibincangkan dalam tajuk khiyar majlis, dengan izin Allah.

Menurut istilah para fuqahak, jual beli ialah akad yang merujuk kepada pertukaran sesuatu harta dengan harta yang lain bagi tujuan pemilikan kekal. Maksudnya, dalam akad tersebut mestilah wujud pertukaran harta untuk tujuan pemilikan. Jual beli juga mesti membabitkan sesuatu yang syarak menilainya sebagai harta. Jual beli ini juga perlu membabitkan pemilikan dan penyerahan hak milik dan tidak boleh ditetapkan untuk tempoh tertentu sahaja. Semua perkara ini akan dibincangkan dengan lebih mendalam dalam perbincangan seterusnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *