Penerima Satu Perdua Pusaka dan Syaratnya

Penerima Satu Perdua Pusaka dan Syaratnya

Terdapat lima pewaris yang menerima satu perdua (1/2) pusaka. Walau bagaimanapun mereka terikat dengan syarat-syarat kelayakan.

1 . Suami (az-Zauj)

Suami mendapat satu perdua (1/2) pusaka isteri dengan satu syarat iaitu isterinya tidak mempunyai anak (lelaki atau perempuan) atau anak (lelaki atau perempuan) kepada anak lelaki (walad al-ibni). Sama ada anak ini daripada dia sendiri ataupun daripada orang lain, termasuklah jika anak tersebut anak zina. Dalilnya ialah firman Allah:

Dan bagi kamu satu perdua daripada harta yang ditinggalkan oleh isteri-isteri kamu, jika mereka tidak mempunyai anak. (An-Nisa’: 12)

Hak anak lelaki atau perempuan kepada anak lelaki (walad al-ibni) sama seperti hak anak lelaki menurut ijmak ulamak. Perkataan walad (anak lelaki atau anak perempuan) mencakupi erti kata anak dan cucu-cucunya berdasarkan kepada makna hakiki (sebenar) dan mankna majazi (simbolik).

2. Anak Perempuan (al-bint)

Anak perempuan boleh mendapat satu perdua (1/2) pusaka jika memenuhi dua syarat:
i. Dia adalah anak perempuan tunggal.
ii.. Tiada adik beradik lelaki yang akan menjadikan dia ‘ash0bah.

Dalilnya ialah firman Allah:

Jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka bahagiannya adalah satu perdua harta itu. (An-Nisa’: 11)

3.  Anak Perempuan kepada Anak Lelaki (bintul ibni)

Dia mewarisi satu perdua (1/2) pusaka dengan tiga syarat:
i. Dia hanya seorang.
ii. Tiada adik beradik lelaki yang akan menjadikannya ’ash0bah

iii. Tiada anak lelaki (al-ibnu) dan anak perempuan (al-bint) kepada si mati.

Dalil yang mengesahkan haknya sebanyak satu perdua (1/2) sekiranya mencukupi syarat di atas ialah ijmak ulamak. Para ulamak berkata: Dalam pusaka anak lelaki ataupun perempuan kepada anak lelaki (walad al-ibni) akan mengambil tempat anak lelaki ataupun perempuan (walad).

4. Adik Beradik Perempuan Seibu Sebapa (ukht syaqiqah)

Dia mewarisi satu perdua (1/2) pusaka dengan empat syarat.

i. Tiada ‘furu’ waris’ si mati seperti anak lelaki, anak perempuan anak lelaki kepada anak lelaki (ibnul ibni) atau anak perempuan kepada anak lelaki (bintul ibni).
ii. Tiada ‘usul waris’ seperti bapa atau datuk.
ii. Tunggal.
iv. Tiada adik beradik lelaki yang menjadikan dia ‘ash0bah.

Dalil dia mendapat satu perdua (1/2) pusaka ialah firman Allah:

Jika seseorang mati dalam keadaan tidak mempunyai anak dan mempunyai seorang adik beradik perempuan, maka bagi adik beradik perempuan itu seperdua daripada harta yang ditinggalkan oleh si mati. (An-Nisa‘: 176)

5. Adik Beradik Perempuan Sebapa (al-Ukht minal Ab)

Dia mendapat satu perdua (1/2) pusaka dengan lima syarat. Empat syarat daripadanya sama seperti syarat adik beradik perempuan seibu sebapa (ukht syaqiqah). Syarat kelima ialah tiada adik beradik lelaki atau perempuan seibu sebapa (akh syaqiq @ ukht syaqiqah) si mati. Dalil dia boleh menerima satu perdua (1/2) pusaka ialah ayat yang sama menyebut tentang adik beradik perempuan sebapa. Menurut ijmak ulamak maksud adik beradik perempuan dalam ayat tersebut merangkumi adik beradik perempuan seibu sebapa dan sebapa.

Imam ar-Rahabi menyebut mengenai pemilik satu perdua (1/2) pusaka.

Satu perdua adalah bahagian untuk lima jenis pewaris az-zauj, anak perempuan (al-bint)
bintul ibni sekiranya tiada al-bint
al-Ukht menurut mazhab dan semuanya sepakat
Seterusnya al-Ukht min al-Ab
Ketika bersendirian tanpa ‘ash0bah lain.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *