Hukum-hukum yang Berkaitan dengan Wasiat

Hukum-hukum yang Berkaitan dengan Wasiat

Sebagaimana yang telah saya nyatakan, Wasiat adalah amalan yang digalakkan dalam hal kebajikan dan dibolehkan untuk selain daripada waris. Cuma dalam beberapa keadaan ia mungkin terkeluar dari sunat kepada:

1. Wajib

Wajib sekiranya terdapat tanggungjawab syarie yang perlu dilaksanakan kepada Allah s.w.t. seperti zakat dan haji, dan dia bimbang harta ini akan habis sekiranya tidak diwasiatkan.

Demikianlah juga jika berkaitan dengan tanggungjawab kepada manusia seperti harta Wadiah dan hutang sekiranya pemilik sebenar tidak dikenali oleh orang lain.

2. Haram

Wasiat adalah haram menurut syarak jika dia mewasiatkan perkara yang diharamkan melakukannya seperti mewasiatkan arak, atau mewasiatkan sesuatu yang boleh mencemar akhlak masyarakat. Selain haram Wasiat sebegini tidak boleh dilaksanakan.

Antara Wasiat yang diharamkan ialah Wasiat yang bertujuan menyusahkan Waris-waris dan menghalang mereka daripada menerima bahagian yang ditetapkan oleh syarak.

Allah melarang wasiat yang bertujuan menyusahkan (memudharatkan) orang lain. Allah Taala berfirman:
..dalam keadaan tidak mendatangkan mudarat (kepada waris-waris. Setiap hukum itu ditetapkan sebagai) perintah daripada Allah. Allah Maha-Mengetahui, lagi Maha Berlembut.
(An-Nisa‘: 12)

Rasulullah s.a.w. bersabda:

Sesungguhnya seseorang lelaki dan wanita mentaati Allah selama enam puluh tahun, kemudian mereka didatangi ajal, lalu mereka memudaratkan waris semasa berwasiat, lalu mereka wajib masuk neraka. Kemudian Abu Hurairah r.a. membaca ayat yang bermaksud: ”…sesudah ditunaikan wasiat yang diwasiatkan oleh si mati dan sesudah dibayar hutangnya, dalam keadaan tidak mendatangkan mudarat (kepada waris-waris. Setiap hukum itu ditetapkan sebagai) perintah daripada Allah. Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Berlembut. (Hukum-hakam yang tersebut) itu adalah batas-batas (syariat) Allah. Sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya akan dimasukkan oleh Allah ke dalam syurga-syurga yang sungai-sungai mengalir di bawahnya, dalam keadaan mereka kekal di dalamnya. Itulah kejayaan (sebenar) yang besar.

(An-Nisa’: 12 & 13)

3. Harus

Wasiat diharuskan jika ditujukan untuk sahabat handai atau orang kaya yang mana mereka bukan dari golongan yang berilmu dan saleh. Jika wasiat itu bertujuan baik dan bertujuan untuk menghubungkan silaturahim maka wasiat ini dianggap sunat kerana ia bertujuan mentaati Allah. ‘

4. Makruh

Wasiat adalah makruh sekiranya pewasiat seorang yang kurang berada dan memiliki Waris-waris yang miskin serta memerlukan harta. Wasiat juga makruh sekiranya diberikan kepada orang yang fasik dan jahat pewasiat merasakan kemungkinan besar harta ini digunakan ke arah kejahatan.

1 Diriwayatkan oleh Abu Daud (2867) di dalam [Kitab Wasiat, Bab Hadis Dibenci Wasiat Yang Menyusahkan] dan Tirmizi (2118) di dalam [Kitab Wasiat, Bab Wasiat Yang Menyusahkan] daripada Abu Hurairah r.a.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *