Kemusnahan Harta Wakaf dan Hukum Berkaitan

Kemusnahan Harta Wakaf dan Hukum Berkaitan

Harta Wakaf juga kemungkinan terdedah kepada kemusnahan. Apabila ini berlaku, terdapat hukum-hukum tertentu yang berbeza-beza menurut jenis harta dan jenis kemusnahan.

Hukum-hukum tersebut seperti berikut:

1 . Sekiranya harta wakaf itu sejenis haiwan yang tidak boleh dimakan, apabila haiwan tersebut mati, maka kulitnya akan diserahkan kepada penerima Wakaf, kerana dia lebih berhak daripada orang lain. Jika kulit tersebut telah disamak, maka ia adalah harta Wakaf yang boleh digunakan oleh penerima Wakaf, tetapi tidak dibenarkan menjualnya. Ini demi memelihara kehendak pewakaf.

2. Jika harta Wakaf itu haiwan yang boleh dimakan, jika penerima Wakaf tersebut yakin haiwan tersebut berkemungkinan mati kerana sebab-sebab yang tertentu, maka bolehlah dia menyembelihnya kerana terpaksa. Dagingnya dijual dan keuntungannya digunakan untuk membeli haiwan lain yang setara untuk menggantikan haiwan tadi. Ada yang berpendapat daging tersebut diserahkan kepada pemerintah untuk diuruskan mengikut kepentingan umum.

3. Jika harta wakaf itu dirosakkan dan perosaknya dikenakan bayaran ganti rugi nilainya, seperti ia dirosakkan oleh seseorang secara zalim, maka ganti rugi tersebut tidak menjadi milik penerima wakaf. Sebaliknya ganti rugi tersebut digunakan untuk membeli harta yang sama jenis sebagai ganti kepada wakaf. Ia bertujuan memelihara kehendak pewakaf yang mahukan agar pahalanya berterusan dan hak yang berkaitan dengannya. Jika gagal membeli keseluruhan harta tersebut, cukuplah sekadar membeli sebahagian daripada harta tersebut kerana ia hampir kepada kehendak pewakaf. Jika gagal membeli sebahagian harta, maka harta tersebut dikembalikan kepada orang yang paling hampir kepada pewakaf. Jika sekiranya harta wakaf tersebut musnah tanpa sebarang ganti, atau ia musnah
dengan sendiri, maka wakaf tersebut berakhir kerana harta yang diwakafkan telah musnah. ‘

4. Jika kegunaan harta wakaf tersebut terhenti kerana sesuatu sebab dan tidak boleh diperbaiki selepas itu, seperti pokok yang kekeringan, atau pokok yang tercabut kerana angin kencang atau banjir dan tidak dapat ditanam semula, maka wakaf tersebut diteruskan dengan memanfaatkan batangnya untuk disewakan atau sebagainya bagi tujuan meneruskan harta wakaf tersebut. Ia tidak boleh dijual atau dihadiahkan. Jika tidak boleh dimanfaatkan lagi kecuali dengan memusnahkannya dengan cara membakar atau sebagainya maka penerima wakaf dibenarkan berbuat demikian, tetapi tidak dibenarkan menjual atau menghadiahkannya.

5. Jika harta wakaf tersebut dalam bentuk tikar masjid atau sebagainya kemudian ia reput, atau dalam bentuk tiang lalu ia patah dan hanya sesuai untuk dibakar, maka ia harus dijual supaya tidak menjadi sia-sia. Begitulah juga sekiranya barang tersebut hanya menyempitkan ruang tanpa mendatangkan sebarang faedah. Nilai kecil yang diperolehi daripada jualan tersebut adalah lebih baik daripada harta itu disia-siakan begitu sahaja. Dengan ini, hasil jualan tersebut diserahkan untuk kebaikan masjid, dan lebih baik jika hasil tersebut digunakan untuk membeli barang yang seumpama dengannya jika boleh. Walau bagaimanapun, jika barang tersebut masih elok dan tidak
perlu membakarnya, maka ia tidak harus dijual bagi tujuan memelihara barang tersebut dan bagi meneruskan kehendak pewakaf.

6. Jika masjid tersebut runtuh dan tidak boleh lagi dibangunkan, ia tidak harus dijual terus, kerana kemungkinan ia boleh dibangunkan semula suatu ketika nanti. Jika masjid itu mempunyai hasil yang boleh digunakan untuk kegunaan sendiri dan boleh digunakan untuk membangunkan semula masjid baru, maka hasil tersebut perlu disimpan. Tetapi jika tiada kemungkinan ia akan dibangunkan semula, maka hasil tersebut harus diserahkan kepada masjid yang terdekat.

7. Jika keadaan masjid tersebut membimbangkan, maka harus bagi pemerintah meruntuhkannya kemudian batu-batanya boleh digunakan untuk membangunkan masjid baru. Batu-bata tersebut tidak boleh digunakan untuk jenis binaan lain bagi tujuan memelihara kehendak pewakaf. Adalah baik jika tapak masjid baru tersebut dibina berhampiran tapak masjid yang lama.

8. Jika seseorang mewakafkan hartanya untuk membina sebuah empangan bagi mengairi tapak tanaman, kemudian tapak tanaman tersebut musnah menyebabkan empangan tersebut terbengkalai sedangkan orang ramai tetap memerlukan sebuah empangan di tempat lain, maka empangan tersebut harus dipindahkan ke tempat yang dikehendaki bertujuan mengekalkan kehendak pewakaf seboleh mungkin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *