Kewajipan Berkaitan Pusaka si Mati

Kewajipan Berkaitan Pusaka si Mati

Terdapat lima kewajipan berkaitan harta pusaka si mati yang dilaksanakan. Ia hendaklah dilakukan berdasarkan tertib di bawah :

  1. Hutang sebelum kematian si mati yang berkait dengan barang yang menjadi harta pusaka, seperti gadaian. Sesiapa yang menggadaikan hartanya, kemudian meninggal dunia tanpa memiliki harta lain selain harta itu, maka hutang pemegang gadaian hendaklah didahulukan daripada yang lain, termasuk keperluan persiapan dan pengkafanan jenazah.Begitu juga jika seseorang membeli barang tetapi mati sebelum sempat mengambil dan membayar harganya, maka hak sipenjual lebih berhak ditunaikan daripada mengurus dan mengkafankan jenazah. Sama seperti jual beli dan gadaian, zakat harta yang telah wajib dikeluarkan zakat perlu didahulukan kerana si mati berhutang dengan zakat. Jadi ia perlu diutamakan daripada persiapan dan pengkafanan jenazah.
  2. Persiapan Jenazah. Persiapan jenazah perlu didahulukan daripada semua jenis hutang selain di atas. Ia juga didahulukan daripada pelaksanaan wasiat dan hak pewaris. Ini kerana persiapan jenazah dianggap sebagai hak jenazah sebagai seorang manusia yang perlu ditunaikan. Hak supaya auratnya ditutup ketika di liang lahad perlu dihormati.Persiapan yang dimaksudkan di sini ialah segala perbelanjaan yang membabitkan pengurusan jenazah dari saat kematiannya sehingga dikebumikan. Ia dilaksanakan tanpa berbelanja lebih atau kurang mengikut lunas yang diharuskan oleh syarak.Termasuk dalam ertikata persiapan jenazah ialah mempersiapkan jenazah mereka yang menjadi tanggungan si mati, iaitu isteri dan anak-anaknya. Oleh itu, jika isteri atau anaknya yang masih kecil mati beberapa minit. sebelum kematiannya, maka jenazah mereka wajib diuruskan menggunakan hartanya, Ia sama sepertimana tanggung jawabnya ketika mereka hidup.Jika si mati seorang fakir dan tidak memiliki apa-apa untuk menguruskan jenazahnya, tanggungjawab menguruskan jenazahnya dipikul oleh orang yang menyaranya ketika hidup, sama seperti kes anak dan isteri. Jika tiada, belanja pengurusannya diambil daripada Baitul Mal. Jika tiada juga ia menjadi tanggungjawab orang-orang Islam yang kaya.
  3. Hutang yang berada dalam tangungan (zimmah) si mati. Ia dikemudiankan daripada belanja pengurusan jenazah, tetapi diutamakan berbanding wasiat dan hak pewaris, sama ada ia merupakan hak Allah seperti zakat, nazar dan kaffarah ataupun hak manusia seperti pinjaman atau sebagainya.
    Dalam kes ini hak Allah perlu dilaksanakan terlebih dahulu berbanding hak manusia.
  4. Wasiat dengan satu pertiga (1/3) daripada baki harta. Menurut ijmak ulamak, wasiat ini dikemudiankan daripada hutang tetapi diutamakan berbanding hak pewaris. Allah Taala berfirman :(Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayar hutangnya.
    (An-Nisa’: 11)

    Ayat ini menyebut wasiat terlebih dahulu bukan bermaksud ia wajib diutamakan berbanding hutang. Ia sebagai suatu tanda keprihatinan dan galakan agar pewaris menunaikannya. Ini kerana wasiat sering dipandang remeh oleh para pewaris kerana menganggap ia hanyalah sumbangan si mati. Bahkan ada yang berpendapat wasiat ini merampas hak mereka sebagai pewaris.

    Diriwayatkan daripada Ali r.a. bahawa:

    Nabi s.a.w. menunaikan hutang terlebih dahulu sebelum wasiat, sedangkan kamu membaca (dalam al-Quran, ayat yang menyebut tentang) wasiat dahulu sebelum hutang

  5. Pusaka. Ini adalah hak terakhir yang berkaitan dengan harta peninggalan- Ia dibahagikan kepada para pewaris mengikut bahagian masing-masing.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *