Suami Menceraikan Isteri dengan Talak Satu atau Talak Dua Selepas Persetubuhan

3. Suami Menceraikan Isteri dengan Talak Satu atau Talak Dua Selepas Persetubuhan

Jika suami menceraikan isterinya dengan talak satu atau talak dua selepas menyetubuhinya, suami dibolehkan merujuk kembali dengan menggunakan akad dan maskahwin yang lama. Keputusan tersebut berada di tangannya selagi edah isterinya masih berbaki.

Dalilnya jelas melalui firman Allah:

Dan suami-suami mereka berhak merujuk mereka kembali dalam masa edah mereka, jika suami-suami itu bertujuan hendak berdamai. ‘ ‘
(Al-Baqarah: 228)

Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu, bolehlah dia (merujuk dan) memegang terus (isteri itu) dengan cara yang sepatutnya, atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik.
(Al-Baqarah: 229)

Umar r.a. meriwayatkan:

Rasulullah s.a.w. menceraikan Hafsoh r.ha., kemudian Baginda merujuknya kembali.1

Cara Rujuk

Untuk kembali semula kepada ikatan nikah, cukuplah dengan suami berkata: “Aku rujuk engkau kembali kepada perlindungan dan akad nikahku.”

Pengakuan tersebut sunat disaksikan oleh dua orang saksi. Dalilnya ialah firman Allah Taala:

Dan adakanlah dua orang saksi yang adil di antara kamu (semasa kamu merujuk atau melepaskan isteri).
(At-Tolaq: 2)

Jika suami rujuk kembali, dia masih lagi mempunyai baki talaknya. Kalau isterinya diceraikan dengan talak satu, dia masih mempunyai dua talak lagi. Jika isterinya diceraikan dengan talak dua, dia hanya mempunyai satu talak sahaja lagi.

Jika suami tidak rujuk kembali sehingga isteri selesai edahnya, ketika itu suami tidak lagi mempunyai peluang untuk rujuk.Untuk mereka kembali hidup bersama, akad dan mas kahwin baru hendaklah dilakukan dengan persetujuan bekas isteri. Ia dilakukan sebagaimana perkahwinan baru. Dalilnya ialah firman Allah Taala:

Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu), lalu habis edah mereka, maka janganlah kamu (wahai wali-wali nikah) menahan mereka daripada berkahwin semula dengan (bekas) suami mereka, apabila mereka (lelaki dan perempuan itu) itu bersetuju sesama sendiri dengan cara yang baik (yang dibenarkan oleh syarak).
(A1-Baqarah: 232)

Jika suami masih lagi mempunyai hak untuk rujuk kembali setelah selesai edahnya, sudah tentulah bekas isterinya tidak dibenarkan berkahwin dengan lelaki lain yang disukainya.


1  Diriwayatkan oleh Abu Daud dalam kitab talak, bab rujuk, no. 2283.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *