Mengambil Manfaat daripada Wakaf

Mengambil Manfaat daripada Wakaf

Pewakaf tidak boleh sama sekali menggunakan harta yang telah diwakafkan untuk dirinya sendiri, sebagaimana yang telah dinyatakan sebelum ini.

Pewakaf tidak boleh mewakafkan hartanya untuk dirinya sendiri kerana Wakaf bermakna memindahkan hak milik harta daripada pewakaf kepada orang lain dan ini termasuklah penggunaannya.

Walau bagaimana pun para ulamak mengecualikan peraturan ini sekiranya beliau mewakafkan hartanya dalam bentuk masjid, kubur atau perigi. Beliau boleh menggunakan harta wakafan ini sebagaimana umat Islam yang lain. Dengan ini bolehlah beliau sembahyang di dalam masjid yang diwakafkannya, minum dari perigi yang diwakafkannya dan dikebumikan di tanah perkuburan yang diwakafkannya.

Ini berdasarkan hadis Utsman r.a., katanya:

Sesungguhnya Nabi s.a.w. sampai di Madinah, dalam keadaan di Madinah tidak ada air yang boleh diminum melainkan air Perigi Rumah. Lalu baginda bersabda: “Siapakah yang mahu membeli perigi Rumah, lalu dia (mewakafkannya sehingga dia) meletakkan timbanya di telaga itu bersama timba-timba orang Islam, dengan ganjaran yang lebih baik baginya daripada perigi itu di dalam syurga?” Lalu aku pun membelinya dengan harta milikku sendiri sepenuhnya.’

Pada asalnya, Perigi Rumah adalah milik seorang Yahudi di Madinah. Dia menjual airnya kepada kaum muslimin dengan harga satu dirham bagi setiap satu geriba. Lalu Utsman r.a. membeli perigi tersebut dan mewakafkannya untuk kaum muslimin. Walau bagaimanapun, beliau juga berhak minum airnya sebagaimana orang lain.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *