Hikmah di Sebalik Wakaf

Hikmah di Sebalik Wakaf

Sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini, wakaf adalah amalan yang disyariatkan. Bahkan ia merupakan salah satu amalan yang boleh mendekatkan diri dengan Allah dan mendapat pahala. Sudah pasti banyak hikmah yang terkandung di sebalik amalan ini

1. Ia membuka ruang untuk mendekatkan diri dengan Allah dengan cara mengalirkan harta di jalan Allah. Sebagai balasan pewakaf beroleh ganjaran pahala. Tiada amalan yang paling disukai oleh seorang mukmin selain amalan yang boleh mendekatkan dirinya dengan Allah dan menjadikan dirinya dikasihi oleh Allah.

2. Amalan ini menjadikan impian seseorang mukmin tercapai. Ini kerana dengan amalan wakaf, dia berpeluang menzahirkan pengabdian dan cintanya kepada Allah. Sesungguhnya perasaan cintakan Allah hanya dapat dizahirkan melalui amalan dan perlaksanaan. Allah berfirman: ‘

Kamu (wahai orang-orang yang beriman), tidak akan mencapai kebaikan (yang sempurna) sehingga kamu membelanjakan (ke jalan Allah) sebahagian daripada apa yang kamu sayangi.

(Aali ‘Imran: 92)

3. Wakaf juga dapat menunaikan impiannya untuk melihat kebajikannya sentiasa berterusan walaupun selepas kematiannya, dan ganjaran pahala sentiasa diperolehinya ketika di kubur walaupun dia tidak boleh lagi beramal didunia. Ketika itu harapannya hanyalah kepada harta yang diwakafkan kerana Allah ketika masih hidup. Atau pun dia menjadi sebab kepada wujudnya anak yang saleh atau ilmu yang boleh dimanfaatkan.

4. Melalui wakaf akan tercapai kepentingan Islam. Sekiranya harta-harta wakaf ini diuruskan dengan baik, ia boleh menjadi aset yang baik untuk mencapai kepentingan masyarakat Islam seperti membina masjid, sekolah, menghidupkan ilmu, menghidupkan syiar-syiar Islam seperti azan, kepimpinan Islam dan sebagainya.

5. Wakaf ‘dapat memenuhi keperluan fakir miskin, anak-anak yatim dan ibnu sabil yang tidak dapat mencari rezeki kerana keadaan tertentu. Harta-harta wakaf ini boleh memenuhi keperluan dan mengurangkan kesengsaraan mereka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *