Penggunaan Lafaz Pengecualian dalam Talak

Penggunaan Lafaz Pengecualian dalam Talak

Sebagaimana yang kami sebutkan, talak ta’lik yang dikaitkan dengan syarat atau sifat adalah sah. Begitu juga dengan talak yang menggunakan lafaz pengecualian.

Maksud lafaz pengecualian dalam talak ialah suami menyebut bilangan talak yang banyak dalam satu lafaz kemudian melakukan pengecualian terhadap bilangan tersebut. Contohz suami berkata: ” Aku ceraikan engkau dengan talak tiga kecuali satu talak,” atau “Aku ceraikan engkau dengan talak tiga kecuali dua talak.”

Ini kerana lafaz pengecualian dalam uslub bahasa Arab adalah diiktiraf. Ia digunakan oleh al-Quran dan sunnah untuk menjelaskan sesuatu dan mengira dengan tepat.

Firman Allah Taala mengenai Nabi Nuh a.s.:

Dia tinggal di kalangan mereka selama 1,000 tahun kecuali 50 tahun.
(Al-‘Ankabut: 14)

Oleh itu lafaz pengecualian boleh digunakan untuk menjatuhkan talak dan mengira bilangan talak yang hendak dijatuhkan.

Syarat Sah Talak yang Menggunakan Lafaz Pengecualian

Syarat sah talak yang menggunakan lafaz pengecualian ialah:

  1. Ketika melafazkan talak, suami mesti rnempunyai niat memasukkan lafaz pengecualian sebelum selesai melafazkan talak. Jika dia selesai melafazkan lafaz talak kemudian baru terfikir untuk melakukan pengecualian, pengecualian tersebut tidak sah. Talak tetap jatuh sebagaimana yang diucapkannya
    sebelum melakukan pengecualian.
  2. Lafaz talak dan pengecualian hendaklah tidak terpisah. Terpisah atau tidaknya diukur berdasarkan ‘uruf (kebiasaan yang berlaku). Jika ‘uruf mengatakan lafaz talak dan pengecualian yang dipisahkan oleh satu tempoh masa tertentu seperti seminit sebagai pemisah, pengecualian tersebut adalah terbatal. Dengan itu talak berlaku mengikut lafaz yang diucapkan sebelum pengecualian.
  3. Pengecualian tersebut tidak sama dengan bilangan talak yang dilafazkan seperti suami berkata: “Kamu diceraikan dengan talak tiga kecuali tiga talak.” Pengecualian ini tidak membawa sebarang makna. Dengan itu talak berlaku mengikut lafaz yang diucapkan sebelum pengecualian.

Perlu difahami bahawa pengecualian daripada ayat isbat, dikira sebagai menafikan sesuatu. Manakala pengecualian daripada ayat nafi, dikira sebagai mengisbat (mengiya) sesuatu. Ini kerana pengecualian memberikan makna yang berlawanan daripada maksud asal sesuatu ayat. Jika suami berkata: “Aku tidak menceraikan kamu kecuali dengan talak dua,” ketika itu jatuhlah talak dua.

Dalil Sah Menggunakan Lafaz Pengecualian dalam Talak

Dalil sah menggunakan lafaz pengecualian dalam talak ialah sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

Sesiapa yang membebaskan hamba atau melafazkan talak, dan dia menggunakan lafaz pengecualian, maka baginya pengecualian tersebut.’ 1


1 Disebut oleh lbnu al-Atsir dalam an-Nihayah dalam kata dasar  .

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *