Harta Baitulmal Diberikan Kepada Anak-anak Terbuang yang Tidak Berharta
Jika kanak-kanak itu tidak berharta, nafkahnya Wajib diambil daripada harta Baitul Mal melalui peruntukan dana kepentingan umum. Ini kerana harta Baitul Mal disimpan untuk kepentingan tersebut. Inilah hukum yang disepakati oleh para ulama Islam.
Diriwayatkan bahawa Saidina Urnar telah bermesyuarat dengan para sahabat untuk menentukan nafkah anak-anak terbuang. Mereka bersepakat bahawa nafkah itu hendaklah diambil daripada harta Baitul Mal.
Jika kanak-kanak tersebut tidak mempunyai harta, dia termasuk dalam golongan yang telah dijelaskan oleh Nabi s.a.w. dengan sabdanya:
Sesiapa yang meninggalkan harta, maka harta itu adalah hak para warisnya. Sesiapa yang meninggalkan tanggungan yang fakir, maka ia terserah kepadaku (akulah yang menanggungnya)
Dalam riwayat lain, baginda s.a.w. bersabda:
Sesiapa yang meninggalkan hutang atau tanggungan yang tidak berharta, maka hendaklah dia datang berjumpaku, kerana aku adalah walinya.’
1 Riwayat Bukhari dalam kitab hutang, bab doa ke atas orang yang meninggalkan hutang, no. 2268 & 2269; dan Muslim dalam kitab faraidh, bab sesiapa yang meninggalkan harta, ia adalah hak warisnya, no. 1619 daripada Abu Hurairah r.a..
Adakah Harta Baitul Mal Perlu Dibayar Balik?
Hakim (pemerintah) tidak perlu meminta dibayar balik harta Baitul Mal yang telah dibelanjakan sebagai nafkah kepada anak tersebut setelah dia dewasa. Ini kerana nafkah tersebut bukannya hutang, tetapi merupakan hak kanak-kanak tersebut sebagaimana nafkah suami kepada isteri dan nafkah bapa kepada anak-anak
Nafkah Anak-anak Terbuang Ketika Baitul Mal Tidak Mempunyai Harta
Jika harta Baitulmal tidak mencukupi untuk rnenampung keperluan anak-anak terbuang disebabkan ramainya bilangan mereka misalnya, atau terdapat keperluan lain yang lebih penting, hakim (pemerintah) wajib meminjam daripada orang kaya. Hutang tersebut hendaklah dibuat atas nama negara. Kadar hutang yang diperlukan ialah kadar yang mencukupi keperluan anak-anak terbuang. Hutang tersebut hendaklah dibayar ketika Baitulmal mempunyai harta
Memberi Perhatian kepada Anak-anak yang Terbuang
Melalui perbincangan di atas, dapatlah kita simpulkan bahawa Allah s.w.t. telah meletakkan tanggungjawab menjaga dan mendidik anak-anak terbuang pada kedudukan yang begitu utama dan penting.
Semua orang Islam berdosa jika mereka mencuaikan tanggungjawab memelihara anak terbuang walaupun seorang. Negara juga berdosa jika mereka tidak memberikan perhatian kepada perkara itu, dan tidak cuba menggantikan kasih sayang ibubapa yang hilang terhadap anak terbuang semaksimum mungkin. Islam juga mewajibkan negara berhutang dengan orang-orang Islam yang kaya jika negara miskin dan tidak ada cara lain untuk memberikan nafkah kepada mereka.