PEGANGAN AMANAH

PEGANGAN AMANAH

Telah disebutkan ketika membincangkan tentang definisi Wasiat. Wasiat dan pegangan amanah adalah sama, cuma para; fuqahak membezakannya, di mana pegangan amanah ialah menguruskan hal ehwal orang yang tidak berkemampuan.

Dengan ini, pegangan amanah ialah penyerahan hak oleh seorang lelaki sebelum kematiannya untuk penjagaan anaknya, atau perlaksanaan wasiatnya, atau pembayaran hutangnya, atau pemulangan barang pinjamannya, atau sebagainya, kepada orang yang dipercayai.

Definisi Pemegang Amanah

Daripada perkara di atas, dapatlah difahami bahawa pemegang amanah ialah orang yang bertanggung jawab menguruskan hal ehwal anak, pemulangan pinjaman, atau pembayaran hutang, iaitu sebagai wakil kepada si mati melalui tanggung jawab yang diberikan oleh simati.

Hukum Pegangan Amanah

Hukum asal pegangan amanah adalah harus, namun dalam setengah keadaan, hukumnya boleh berubah menjadi wajib.

Al-Azraie menyebut: “Apa yang jelas, adalah wajib bagi ibu bapa untuk mewasiatkan hal ehwal anak-anaknya (jika mereka tiada datuk yang layak menjaga mereka) kepada seseorang yang boleh dipercayai, berkeupayaan dan jujur, jika dia merasakan bahawa apabila dibiarkan, hartanya akan dikuasai oleh seseorang yang tidak amanah, sama ada oleh hakim atau seumpamanya, di mana adalah wajib baginya memastikan harta anak-anaknya tidak hilang begitu sahaja.

Al-Bajuri menyebut dalam Hasyiyahnya: “Pegangan amanah yang disebutkan itu adalah sunat, kecuali dalam hal berkenaan hak mereka yang lemah dan tiada sebarang saksi, maka ketika itu ia adalah wajib, kerana ketiadaan pegangan amanah ini akan menyebabkan hilangnya hak tersebut.”

Dengan ini, jelas bahawa pegangan amanah adalah wajib ketika ada kemungkinan besar hak pewasiat dan penerima wasiat akan hilang jika tidak diserahkan kepada seseorang untuk menguruskannya.

Demikianlah juga sekiranya dikhuatiri hak anak-anak yang masih kecil akan hilang, atau terdedah kepada ancaman, maka ibu bapa wajib menyerahkan amanah kepada sesiapa yang dipercayai untuk menguruskan mereka demi kepentingan mereka.

Jika tiada perkara yang perlu dibimbangkan, maka pegangan amanah hanyalah sunat dan suatu amalan yang digalakkan.

Hikmah Disyariatkan Pegangan Amanah

Hikmah disebaljk disyariatkan pegangan amanah ini adalah kerana ia suatu keperluan demi menjaga kepentingan manusia. Seseorang manusia yang hampir menemui ajalnya, kemungkinan masih ada ikatan dengan orang lain, seperti simpanan, atau pinjaman yang masih ada hutang dan perlu diselesaikan selepas kematiannya.

Kemungkinan juga dia mempunyai anak-anak yang kurang berkeupayaan untuk menguruskan harta mereka. Oleh itu, adalah perlu mereka melantik seseorang yang berkemampuan untuk menguruskan hal-hal ini. Atas dasar ini juga, Islam mensyariatkan pegangan amanah dan menggalakkannya.

Syarat-syarat Pemegang Amanah

Sebagaimana yang telah saya nyatakan, pemegang amanah ialah orang yang diserahkan amanah untuk menguruskan hal-hal tertentu selepas kematian pewasiat. Bagi membolehkan pemegang amanah menjalankan tanggungjawabnya sebaik mungkin, ia perlu memenuhi syarat-syarat berikut:

1. Seorang mukallaf, iaitu baligh dan berakal. Orang yang tidak baligh dan tidak berakal sendiri diuruskan oleh orang lain. Jadi, bagaimana mereka boleh dilantik untuk menguruskan urusan orang lain?

2. Seorang yang merdeka, kerana hamba tidak boleh menguruskan harta bapanya sendiri. Jadi, dia tidak sesuai untuk menguruskan harta orang lain, Walaupun diizinkan oleh tuannya.

3. Seorang Islam, iaitu hendaklah amanah itu diserahkan kepada seorang Islam. Maka tidak sah menyerahkan amanah untuk menguruskan hal-hal orang Islam kepada orang kafir, kerana mereka tidak boleh dipercayai, dan Allah tidak membenarkan mereka dilantik memimpin orang Islam. Allah berfirman:

Allah tidak akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk membinasakan orang-orang mukmin. (An-Nisa’: 141)

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan daripada kalangan kamu menjadi orang yang dipercayai. Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. (Aali Imran: 118)

Walau bagaimanapun, sah menyerahkan amanah daripada kafir zimmi kepada kafir zimmi, dan daripada kafir zimmi kepada orang Islam.

4. Seorang yang adil, yakni tidak terlibat dengan dosa-dosa besar dan tidak kerap melakukan dosa-dosa kecil. Walau bagaimana-pun, keadilannya memadai dilihat secara zahir. Maka tidak sah menyerahkan amanah kepada seorang fasik, kerana Wasiat adalah suatu amanah, sedangkan orang fasik tidak amanah.

5. Seorang yang layak dan mampu menguruskan amanah tersebut. Maka tidak sah menyerahkan amanah kepada seorang yang tolol, sakit, tua bangka, terencat akal atau pelupa, kerana orang begini tidak dapat menjaga amanah.

Berdasarkan syarat-syarat tersebut adalah harus menyerahkan amanah kepada:
1. Orang buta, kerana dia boleh mewakilkan perkara-perkara yang tidak boleh dilakukan sendiri kepada orang lain.
2. Wanita, kerana mereka boleh menguruskan amanah tersebut. Umar bin al-Khattab r.a. pernah menyerahkan amanah kepada anak perempuannya, Hafshoh r.ha. sebelum kematiannya.‘ Bahkan mereka lebih berkelayakan daripada orang lain sekiranya mereka memenuhi syarat-syarat pemegang amanah kerana mereka mempunyai perasaan belas kasihan kepada anak-anaknya.

1. Sebagaimana diriwayatkan oleh Abu Daud (2789) di dalam [Kitab Wasiat, Bab Hadis Berkenaan Lelaki Yang Mewakakan Harta].

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *