D. Akad Wakaf
1. Takrif Akad
Akad ialah kata-kata atau yang seumpamanya seperti isyarat orang bisu yang boleh difahami atau tulisan, yang dituturkan untuk sesuatu tujuan. Akad adalah wajib bagi mengesahkan atau mewujudkan Wakaf.
2. Jenis Lafaz Akad
Ia terbahagi kepada dua jenis:
i. Sorih (jelas). Iaitu lafaz tersebut hanya membawa satu maksud. Contohnya: “Saya mewakafkan rumah saya untuk orang-orang fakir” atau beliau berkata “Ia diwakafkan untuk mereka.” Atau pun beliau berkata: “Saya mewakakannya untuk mereka” atau “Saya sedekahkannya untuk mereka.”
Ungkapan lafaz sebegini yang telah jelas maksudnya tidak lagi memerlukan kepada niat untuk mengesahkan wakafnya. Sama sebagaimana akad jual beli yang jelas yang hanya memadai dengan pertuturan sahaja.
ii. Kinayah (simbolik). Lafaz yang membawa banyak maksud. Contohnya: “Hartaku adalah sedekah kepada fakir miskin” atau “Saya serahkan ia kepada mereka” atau “Saya abadikan untuk mereka” dan seterusnya.
Termasuk dalam ertikata lafaz simbolik ialah lafaz dalam bentuk tulisan. Lafaz dalam bentuk simbolik ini memerlukan kepada niat untuk mengesahkannya. Sama sebagaimana akad-akad yang simbolik yang lain.
3. Syarat-syarat Lafaz Wakaf
Sama ada jelas atau simbolik lafaz wakaf perlu memenuhi beberapa syarat berikut:
i. Lafaz orang yang boleh bercakap atau tulisan orang yang bisu hendaklah jelas bermaksud wakaf. ”
ii. Hendaklah lafaz tersebut tiada batasan masa. Jika beliau berkata: “Saya mewakafkan tanah saya untuk penuntut ilmu selama setahun,” terbatal Wakafnya kerana lafaznya tidak sah dengan adanya jangka masa tertentu. Wakaf adalah memberi hak milik selama-lamanya dan tempoh ini menafikan hak ini.
Pengecualian daripada Syarat Jangka Masa
Walau pun adanya syarat jangka masa ini, ulamak telah mengecualikan masjid, benteng pertahanan dan kawasan kubur atau yang seumpama dengannya seperti membebaskan hamba. Para ulamak meletakkan hukum wakaf ini sah selama-lamanya dan jangka masa tersebut dimansuhkan. Tujuan jangka masa tersebut dimansuhkan adalah untuk menjadikan akad tersebut sah selagi ada j alan untuk itu.
Oleh itu sekiranya seseorang berkata: “Saya mewakafkan tanah saya ini untuk masjid atau untuk kubur atau untuk benteng pertahanan selama setahun,” wakaf beliau dianggap sah selama-lamanya dan tempoh tersebut dibatalkan.
iii. Dinyatakan penerima wakaf. Jika beliau menyebut saya mewakafkan harta ini atau saya sedekahkan harta ini tanpa menyebut penerima wakaf, wakaf tersebut terbatal kerana tidak diketahui pihak yang bertanggungjawab menguruskannya.
iv. Tiada sebarang syarat tambahan. Wakaf telah menjadikan harta tersebut sebagai hak milik serta merta. Tidak sah
mengaitkannya dengan apa jua syarat.
Jika seseorang berkata: “Saya mewakafkan rumah saya kepada fakir miskin dengan syarat Zaid datang,” atau “saya
mewakafkan kereta saya untuk mereka dengan syarat isteri saya
mempersetujuinya,” wakaf begini terbatal. Ini kerana tujuan Wakaf tidak
tercapai dengan adanya syarat-syarat ini.
Walau bagaimanapun terdapat pengecualian pada perkara yang membabitkan pembebasan hamba dan seumpama dengannya sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini. Jika pewakaf berkata: “Bila tiba bulan Ramadhan, saya akan mewakafkan rumah saya sebagai masjid,” wakafnya sah.
v. Tidak disyaratkan khiyar (pilihan untuk meneruskan akad atau membatalkannya). Tidak sah khiyar syarat untuk dirinya atau untuk orang lain dan tidak sah juga khiyar majlis. Jika beliau berkata: “Saya mewakafkan haiwan saya ini kepada fakir miskin dan saya mempunyai khiyar selama tiga hari atau saya mempunyai khiyar untuk menjualnya jika saya mahu,” maka wakafnya terbatal kerana perlaksanaan Wakaf tidak boleh dilaksanakan serta merta sebagaimana yang dikehendaki.