Rukun Wasiat dan Syarat-syarat

Rukun Wasiat dan Syarat-syarat

Wasiat ada empat rukun, iaitu: pewasiat, penerima Wasiat, harta diwasiat, dan lafaz Wasiat.

Setiap rukun ini ada syarat-syarat yang perlu dipenuhi. Di sini syarat-syarat tersebut.

1. Syarat-syarat Pewasiat

Wasiat adalah sah bagi orang yang memenuhi syarat-syarat berikut .

i. Akal. Ia adalah syarat yang mesti ada khususnya dalam soal memberi hadiah dan sedekah. Wasiat tidak sah jika dilakukan oleh orang gila atau terencat akal, orang yang pengsan dan orang yang mabuk. Kesemua mereka dianggap orang-orang yang kehilangan akal yang merupakan asas kepada taklif. Dengan ini orang-orang ini tidak layak memberi sedekah.

ii. Baligh. Syarat ini juga adalah asas kepada taklif. Dengan ini, adalah tidak sah Wasiat daripada seorang kanak-kanak walaupun telah mumaiyiz kerana ia tidak layak untuk bersedekah.

iii. Pilihan. Wasiat tidak sah jika dilakukan oleh orangg yang dipaksa. Ini kerana Wasiat bermakna menyerahkan hak milik maka ia perlu melalui keredaan dan pilihan pemiliknya.

iv. Merdeka. Tidak sah Wasiat daripada seorang hamba, sama ada hamba tulen (yang tidak akan dibebaskan), mudabbar (yang akan dibebaskan selepas kematian tuannya), atau mukatib /mukatab (yang akan dibebaskan dengan melunaskan bayaran tertentu kepada tuannya), kerana hamba bukan pemilik. Bahkan diri dan hartanya adalah milik tuannya. »

Syarak mengaitkan Wasiat dengan pusaka dan perwarisan, sedangkan hamba tidak boleh mewariskan hartanya. Dengan ini hamba tidak boleh terbabit’ dalam soal wasiat.

Berdasarkan kepada syarat-syarat pewasiat yang dinyatakan tadi, maka Wasiat daripada golongan berikut adalah sah:-

i. Kafir. Ini kerana ia layak untuk bersedekah.

ii. Orang yang dihalang daripada berbelanja (al-mahjur ‘alaih) kerana kebodohannya (safih). Ini kerana tindakannya adalah sah selain dia juga memerlukan pahala selepas kematiannya.

2. Syarat-syarat Penerima Wasiat

Penerima Wasiat ada dua golongan iaitu penerima yang dikhususkan dan yang tidak dikhususkan. Kedua-dua golongan ini tertakluk kepada syarat-syarat yang ditentukan. ‘

Syarat-syarat Penerima Wasiat yang Dikhususkan

Penerima Wasiat ini perlu memenuhi syarat-syarat berikut:

i. Mestilah di kalangan orang-orang yang layak memiliki harta ketika kematian pewasiat. Tidak sah Wasiat kepada orang yang telah mati, atau kepada haiwan, kerana orang yang telah mati dan haiwan tidak layak memiliki harta.

Walau bagaimanapun, larangan Wasiat kepada haiwan hanya jika pewasiat tidak memperincikan wasiatnya. Sekiranya diperincikan, seperti dia mewasiatkan supaya diberi makan kepadanya, maka wasiatnya sah, kerana Wasiat ini ditujukan kepada pemilik haiwan, di mana tugas memberi makan sememangnya menjadi tanggungjawabnya. Wasiat tersebut wajib dilaksanakan untuk memberi makanan kepada haiwan tersebut bagi menunaikan niat pewasiat. ’

Berdasarkan kepada kenyataan di atas, maka Wasiat kepada anak yang ada dalam kandungan semasa Wasiat itu dibuat adalah sah. Wasiat tersebut wajib dilaksanakan sekiranya dia selamat dilahirkan dalam tempoh sekurang-kurangnya enam bulan, iaitu tempoh minima kehamilan. ‘

ii. Bukan maksiat. Tidak sah mewasiatkan hamba yang muslim atau mewasiatkan mushaf al-Quran kepada orang kafir. Begitu juga tidak harus mewasiatkan senjata atau harta kepada kafir harbi kerana Wasiat ini dianggap maksiat.

iii. Mestilah dikhususkan. Tidak sah jika Wasiat itu ditujukan kepada salah seorang daripada dua orang kerana tidak pasti siapa yang akan menerima Wasiat tersebut. Wasiat sebegini adalah sia-sia kerana ia tidak dapat diserahkan kepada penerimanya.

iv. Hendaklah penerima Wasiat wujud ketika Wasiat dibuat. Tidak sah mewasiatkan harta kepada bayi yang akan dikandung, ataupun masjid yang akan dibina.

Termasuk juga dalam ertikata Wasiat yang dikhususkan ialah wasiat untuk pembangunan masjid, sama ada Wasiat ini ditujukan untuk binaan atau untuk keceriaan atau untuk pengurusannya.

Turut termasuk dalam ertikata masjid adalah sekolah, tempat perlindungan golongan sufi yang miskin dan hospital, kerana semuanya bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah. Bangunan ini mempunyai pengurusannya yang tersendiri jadi mewasiatkan harta untuk bangunan ini samalah seperti mewakafkan harta untuknya.

Sekiranya pewasiat menyebut: “Saya mewasiatkan harta ini untuk masjid ini,” dan dia tidak pula menyebut sama ada untuk bangunan atau untuk pengurusannya, maka Wasiat ini tetap dianggap sah. Harta daripada Wasiat ini akan digunakan untuk kepentingan masjid sebagaimana yang difahami oleh adat kebiasaan.

Berdasarkan kenyataan di atas jelas bahawa Wasiat untuk pembunuh adalah sah kerana Wasiat adalah memberikan hak milik, sama sepertimana hadiah. Ia juga diharuskan untuk waris sekiranya waris-waris yang lain mengizinkannya.

Syarat-syarat Penerima Wasiat yang Tidak Dikhususkan

Bagi penerima yang tidak dikhususkan contohnya golongan fakir miskin, ulamak, masjid atau sekolah hendaklah Wasiat tersebut tidak bertujuan maksiat atau tujuan yang dilarang oleh Islam. Adalah tidak sah mewasiatkan harta untuk membina rumah ibadat bukan Islam, atau membina pusat hiburan yang hanya melalaikan dan mengabaikan mereka daripada kepentingan dan tanggungjawab mereka.

Golongan yang diharuskan menerima Wasiat ini adalah seperti berikut:

i. Fi sabilillah. Sekiranya pewasiat berkata: “Saya mewasiatkan satu pertiga hartaku untuk jalan Allah,” maka wasiatnya dianggap sah, kerana membelanjakan harta di jalan Allah merupakan suatu cara taqarrub. Harta ini akan diserahkan kepada para tentera yang layak menerima zakat sebagaimana yang disebutkan di dalam firman Allah:

Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir; orang-orang miskin; amil-amil yang mengurusnya; orang-orang muallaf yang dijinakkan hati kepada Islam; hamba-hamba yang hendak memerdekakan diri; orang-orang yang berhutang; untuk jalan Allah; dan orang-orang musafir yang putus bekalan dalam perjalanan.
(At-Taubah: 60)

Menjadi kebiasaan dalam syariat Islam menggunakan gelaran ini untuk mereka.

ii. Para ulamak. Sekiranya pewasiat mewasiatkan satu ratus ribu daripada hartanya untuk para ulamak, wasiat itu dianggap sah, kerana ulamak layak untuk menerima Wasiat. Membelanjakan harta untuk mereka dianggap suatu amalan mendekatkan diri kepada Allah.

Walau bagaimanapun, wasiat ini hanya akan diserahkan kepada ulamak dalam bidang syariat Islam seperti ahli tafsir, ahli hadis, ahli feqah, ahli usul feqah, ahli akidah dan ilmuwan agama yang lain kerana gelaran ulamak kebiasaannya merujuk kepada mereka. Dengan ini wasiat ini tidak diserahkan kepada ahli sastera, kejuruteraan, kedoktoran atau sebagainya dalam bidang keduniaan sebagaimana difahami oleh adat kebiasaan.

Walau bagaimanapun, apabila kebiasaan ini berubah di mana gelaran ulamak yang difahami oleh orang ramai juga termasuk semua orang yang mempelajari dan memperoleh ijazah dalam apa jua bidang ilmu, maka Wasiat yang ditujukan kepada ulamak akan diserahkan kepada semua ilmuwan merangkumi segala bidang ilmu.

iii. Orang fakir, termasuklah juga orang miskin. Begitulah juga sekiranya pewasiat mewasiatkan hartanya untuk orang miskin maka termasuklah juga orang fakir. Pemberian harta wasiat ini boleh dilaksanakan dengan diberikan kepada sekurang-kurang tiga orang fakir atau miskin kerana bilangan tersebut adalah minima.

iv. Ahli Keluarga Rasulullah s.a.w.. Sekiranya pewasiat berkata:
“Saya mewasiatkan satu pertiga hartaku kepada ahli keluarga Rasulullah s.a.w.,” maka Wasiat tersebut diserahkan kepada mana-mana ahli keluarga daripada Bani Hasyim atau Bani al-Muttholib, dan memadai dengan hanya memberikannya kepada tiga orang di kalangan mereka.

v. Saudara-mara. Termasuk dalam definisi ini semua saudara-mara yang ada pertalian dengan pewasiat sama ada daripada keturunan bapa atau ibu. Saudara-mara yang berhak menerima pusaka dikecualikan daripada definisi ini.

v1. Haji dan Umrah. Sekiranya pewasiat berkata: “Saya mewasiatkan satu ratus ribu hartaku untuk haji dan umrah,”
maka wasiatnya dianggap sah, kerana haji dan umrah adalah amalan taqarrub. Harta tersebut akan diserahkan kepada orang-orang yang akan menunaikan haji atau umrah.

Sekiranya pewasiat mewasiatkan agar dia dihajikan, maka wasiatnya adalah sah, dan hajinya ditunaikan dari negerinya, atau dari miqatnya, sebagaimana menurut kandungan wasiatnya. Sekiranya tidak ditentukan kedudukan yang tertentu, maka hajinya dilaksanakan daripada miqat sebagai tahap yang paling minima. Sebagaimana menjadi kebiasaan orang ramai menunaikan haji dari miqat. Walau bagaimanapun, jika kebiasaan ini berubah, maka haji tersebut boleh ditunaikan dari negeri pewasiat, sebagaimana kebiasaan yang dilaksanakan pada masa kini.

3. Syarat-syarat Harta yang Diwasiat

Harta-harta yang diwasiatkan juga tertakluk kepada beberapa syarat bagi menjadikan ianya sah. Wasiat tidak sah jika tidak memenuhi syarat-syarat berikut: ‘

i. Hendaklah harta tersebut halal dimanfaatkan. Mewasiatkan harta yang diharamkan penggunaannya, seperti alat muzik dan alat judi, adalah tidak sah.

ii. Hendaklah harta tersebut boleh dipindah milik. Mewasiatkan hukum qisas atau hak syafaat adalah tidak sah, kerana ia tidak boleh dipindah milik apabila pemiliknya tidak boleh untuk memindahkan hak miliknya.

Berdasarkan kepada kedua-dua syarat tadi ia menunjukkan bahawa Wasiat boleh dilaksanakan pada perkara-perkara berikut.

i. Mewasiatkan harta yang tidak pasti adalah sah. Contohnya, kandungan di dalam rahim atau susu di tetek atau bulu di kulit kambing biri-biri. Ia adalah kerana jika pewaris boleh mewarisinya daripada si mati begitulah juga halnya dengan Wasiat. Wasiat juga boleh dilakukan pada harta yang belum pasti.

ii. Mewasiatkan sesuatu yang tidak wujud ketika wasiat adalah sah. Contohnya, mewasiatkan buah-buahan yang akan keluar atau kandungan haiwan yang akan lahir. Wasiat boleh dilakukan dengan pelbagai bentuk bertujuan mengambil berat dan memudahkan urusan manusia. Oleh itu dibolehkan bagi harta yang belum wujud sepertimana dibolehkan harta yang tidak pasti. Oleh kerana harta yang belum wujud ini sah  melalui tempahan, pajak atau sewa demikianlah juga melalui wasiat.

iii. Memberikan wasiat yang tidak jelas adalah sah. Contohnya, pewasiat berkata: Saya mewasiatkan salah satu daripada pakaian saya. Wasiat boleh dilaksanakan pada harta yang tidak pasti begitulah juga pada wasiat yang tidak jelas. Harta wasiat yang mana yang akan diberi ini akan ditentukan oleh waris.

iv. Mewasiatkan penggunaan harta semata-mata sama ada pengunaan tersebut bersifat sementara atau kekal adalah
sah. Ini adalah kerana penggunaan harta itu boleh diganti dengan nilainya sama seperti harta itu sendiri. Selain itu, sah mewasiatkan objek harta sahaja tanpa penggunaannya kerana penerima wasiat ini boleh juga memanfaatkannya melalui sewa atau pinjam atau apa sahaja.

Oleh itu adalah sah mewasiatkan objek harta tersebut kepada seseorang dan mewasiatkan penggunaannya pula kepada orang lain. Contohnya, pewasiat mewasiatkan kepada Zaid untuk mengawasi rumahnya dan mewasiatkan zaid untuk mendiaminya pula.

v. Sah mewasiatkan harta yang najis yang boleh dimanfaatkan seperti anjing yang terlatih, baja najis dan arak muhtaramah iaitu arak yang asalnya diperah untuk dijadikan cuka. Ini kerana harta-harta ini boleh dipindah milik kepada waris.

4. Syarat-syarat Lafaz

Lafaz wasiat perlu memenuhi beberapa syarat yang disebutkan di sini. ,

i. Hendaklah wasiat tersebut dilafazkan sama ada dalam bentuk jelas atau kabur.

Lafaz yang jelas, seperti: “Saya mewasiatkan untuknya satu ribu,” atau “serahkan satu ribu kepadanya selepas kematian saya,” utau “berikan kepadanya selepas kematian saya,” atau “harta itu menjadi haknya selepas kematian saya.” Lafaz wasiat yang jelas ini diterima sebagai suatu wasiat dan sah dilaksanakan menurut lafaz tersebut. Jika orang yang berkata tersebut menafikan ia berniat wasiat katanya itu tidak diterima.

Syarat ini mencakupi bahasa isyarat yang boleh difahami daripada orang bisu.

Sementara lafaz yang kabur pula perlu disertakan dengan niat. Terdapat kemungkinan lafaz itu tidak membawa maksud wasiat, maka ia perlu diikuti dengan niat. Contohnya: “Buku saya Ini untuk Zaid.”

Dalam pada itu, tulisan daripada orang yang boleh bercakap di-anggap sebagai wasiat berserta niat sepertimana di dalam jual beli.

ii. Hendaklah wasiat ini diterima oleh penerima wasiat jika wasiat ini ditujukan kepada orang yang tertentu. Jikalau wasiat ini ditujukan kepada pihak yang umum seperti fakir miskin atau ulamak persetujuan mereka tidak diperlukan kerana ini menyukarkan. Wasiat ini hendaklah dilaksanakan setelah kematian pewasiat.

iii. Hendaklah persetujuan tersebut diambil kira selepas kematian pewasiat tanpa mengira sama ada penerima telah bersetuju atau telah menolak wasiat ini sebelum kematian pewasiat. Ini adalah kerana penerima tidak mempunyai hak sebelum kematian pewasiat. Masalah ini sama sepertimana menggugurkan hak syafaat sebelum jual beli.

Berdasarkan kepada syarat ini, penerima wasiat yang menerima wasiat ketika hayat pewasiat boleh menolak wasiat tersebut selepas kematian pewasiat atau sebaliknya. Ini adalah kerana persetujuan atau penolakan untuk menerima wasiat ini hanya berlaku selepas kematian pewasiat.

Oleh itu, sekiranya penerima wasiat meninggal dunia sebelum kematian pewasiat maka wasiat tersebut terbatal dengan sendirinya kerana wasiat hanya berlaku selepas kematian pewasiat. Sekiranya penerima wasiat meninggal dunia selepas kematian pewasiat tetapi sebelum dia bersetuju menerimanya wasiat tersebut masih sah dan waris dia akan mewakili dia untuk menerima atau menolaknya.
Waris dia adalah keturunan dia jadi mereka boleh mewakili dia dalam soul ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *