ILA’

ILA‘, ZIHAR DAN LI’AN

Terdapat tiga perkara yang kesudahannya sama dengan talak atau ia bertukar menjadi talak. Tiga masalah tersebut ialah ila’, zihar dan li’an. Kami akan huraikan tajuk ini secara mendalam seperti di bawah.

PERTAMA: ILA‘

Takrif Ila‘

Ila‘ daripada segi bahasa berasal daripada perkataan al-alliyyah yang bermaksud: sumpah.

Firman Allah s.w.t.:

Dan janganlah orang-orang yang berharta serta lapang hidup-nya di antara kamu, bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum keluarga dan orang-orang miskin.
(An-Nur: 22)

Ila‘ daripada segi istilah pula ialah suami yang berhak mentalakkan isterinya bersumpah tidak akan bersetubuh dengan isterinya lebih daripada empat bulan, atau secara mutlak (tanpa disebut tempoh masanya).

Hukum Ila’

Jika suami bersumpah tidak akan bersetubuh dengan isterinya secara mutlak atau selama lebih daripada empat bulan, dia telah melakukan ila‘ terhadap isterinya. Terdapat beberapa hukum syarak berkaitan dengan ila‘ tersebut

Hakim hendaklah memberi peluang selama empat bulan kepada suami bermula dari hari dia bersumpah. Ini akan memberi peluang kepada suami untuk menarik balik sumpahnya dan membayar kaffarah sumpah, atau menceraikan isterinya jika dia tidak mahu rujuk dan tidak mahu membayar kaffarah sumpah.

Jika tempoh empat bulan tadi telah tamat, dan suami tetap dengan sumpahnya, dia telah memudaratkan isterinya. Ketika itu berdasarkan tuntutan isteri, hakim berhak mengambil salah satu tindakan berikut:

  1. Memaksa suami menarik balik sumpahnya dan kembali semula kepada isterinya serta membayar kaffarah sumpah jika dia bersumpah dengan nama Allah atau bersumpah dengan salah satu sifat Allah. Jika dia bersumpah untuk melakukan sesuatu atau bersedekah dengan sesuatu, dia hendaklah melakukannya.
  2. Memaksa suami menceraikan isterinya jika dia enggan menarik balik sumpahnya dan tetap berpegang dengan sumpahnya.

Sekiranya suami enggan melakukan salah satu daripada perkara di atas, hakim hendaklah menjatuhkan talak satu bagi pihaknya. Itu adalah hak hakim untuk mengelakkan kemudaratan berlaku kepada orang lain dan tidak ada cara lain melainkan dengan hakim menjatuhkan talak bagi pihaknya. Ketika itu hakim menggantikan tempat suami dalam menjatuhkan talak. Masalah sama dengan masalah membayar hutang dan menjelaskan hak-hak yang berbentuk harta. ‘Tindakan tersebut dilakukan jika suami tidak mempunyai keuzuran yang menghalangnya daripada rnelakukan persetubuhan. Jika suami mempunyai keuzuran seperti sakit atau sebagainnya dia hendaklah diminta menarik balik sumpahnya dengan lidahnya sendiri seperti dia berkata: “Jika aku mampu bersetubuh, aku akan menarik balik pendirianku dan sumpahku.” .Dalil Hukum-hakam Berkenaan Ila‘

Dalil hukum-hakam berkenaan i1a’ ialah firman Allah TaalaKepada orang-orang yang bersumpah tidak akan mencampuri isteri-isteri mereka, diberikan tempoh empat bulan. Setelah itu, jika mereka kembali (mencampuri isteri-isteri itu), maka sesungguhnya Allah Amat Pengampun lagi Amat Pengasihani. Jika mereka berazam hendak menjatuhkan talak (dan tidak mahu kembali mencampuri isteri-isteri itu), maka (hendaklah mereka menjatuhkan talak, kerana) sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
(Al-Baqarah: 226-227)

Ali r.a. berkata:

Apabila seseorang lelaki melakukan ila’ terhadap isterinya, maka talaknya tidak akan jatuh, walaupun telah berlalunya empat bulan itu, sehingga si suami diminta membuat keputusan, sama ada mahu menceraikan isterinya ataupun mahu menarik balik sumpahnya (iaitu dengan kembali kepada
isterinya dan menyelesaikan kaffarahnya).’

Hukum seumpama ini turut diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar r.huma. Hukum seumpama ini juga tidak mungkin dikatakan dengan pendapat akal semata-mata. Oleh itu, hadis ini dihukum sebagai hadis marfu’.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *