Kesahihan Menurut Syarak
Umat Islam sependapat bahawa kontrak ijarah dibenarkan dan bertepatan dengan syarak. Ini berdasarkan kitab Allah dan Sunnah.
1. Kitab Allah
i. Firman Allah:
Jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upah-upah mereka. (Ath-Tholaq 6)
Allah Taala memerintahkan para bapa supaya memberikan ganjaran sebagai upah kepada penyusuan anak mereka. Berdasarkan ayat ini, upah menjadi hak penyusu dan sudah tentu mereka tidak berhak menerima upah ini melainkan melalui kontrak tertentu.
Ini kerana jika mereka menyusukan anak tanpa sebarang kontrak, perbuatan mereka dianggap sebagai sukarela. Orang yang melakukan sesuatu secara sukarela tidak berhak mendapat apa-apa bayaran. Dengan ini, ayat ini menjadi dalil bahawa kontrak ini bertepatan dengan syarak.
ii. Maksud ini juga dapat difahami melalui firman Allah yang menyebut tentang perbualan Nabi Syuaib a.s. dengan anak perempuannya.
Wahai ayahku! Upahlah dia (untuk mengembala kambing kita). Sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah upah ialah orang yang kuat, lagi amanah. Bapa perempuan itu berkata (kepada Musa): ”Sesungguhnya aku hendak mengahwinkan engkau dengan salah seorang daripada dua orang anak
perempuanku ini, dengan syarat engkau bekerja denganku selama lapan tahun.
(Al-Qasas: 26-27)
Maksud engkau bekerja denganku, hendaklah engkau menjadi orang upahanku selama lapan tahun.
Saya sebutkan di sini sebagai “dapat difahami” kerana hukum ini dinyatakan dalam syariat sebelum kita. Sepertimana yang dimaklumi, menurut pendapat yang paling sahih, syariat sebelum kita tidak diakui sebagai syariat kita. Ini bermakna ia tidak boleh menjadi dalil untuk menentukan hukum dalam syariat kita.
2. Sunnah
Terdapat banyak hadis yang menyentuh perkara ini:
1. Hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan selainnya daripada ‘Aisyah r.ha. (hadis hijrah yang panjang). Dalam hadis tersebut ‘Aisyah r.ha. berkata:
Nabi s.a.w. dan Abu Bakar telah mengupah seorang lelaki daripada Bani ad-Dil, kemudian daripada Bani ‘Abd bin Adiy, sebagai seorang penunjuk jalan yang mahir. Ketika itu, dia masih menganut agama kafir Quraisy. Nabi s.a.w. dan Abu Bakar mempercayainya, lalu menyerahkan kepadanya
dua ekor unta tunggangan mereka. Mereka berdua berjanji kepadanya untuk bertemu di Gua Tsaur selepas tiga malam.
Dia pun datang kepada mereka berdua bersama dua ekor unta tunggangan mereka pada pagi malam ketiga, lalu mereka berdua berangkat (menuju ke Madinah).’
2. Hadis riwayat Muslim bahawa:
Nabi s.a.w. melarang muzara‘ah dan membenarkan ijarah (sewa). Baginda bersabda: “Tidak mengapa dengannya.”
3. Muslim juga meriwayatkan daripada Rafi’ bin Khadij r.a. bahawa:
Beliau berkata: ”Kami adalah orang Ansar yang paling banyak ladang. ”Beliau berkata lagi: ”Pada awalnya, kami selalu menyewakan tanah kami (kepada orang lain) dengan syarat.kami memperoleh hasil bahagian tanah ini dan rnereka memperolehi hasil bahagian tanah itu.
Adakalanya bahagian ini mengeluarkan hasil, dan bahagian itu pula tidak. Oleh itu, baginda s.a.w. melarang kami mengamalkannya. Adapun (jika upah diberi) dengan perak (dan sebagainya), Baginda tidak melarang kami.’ 2
Dalam riwayat lain disebut:
Jika dengan emas dan perak, maka tidak mengapa.
Maksud baginda tidak melarang kami, ialah baginda tidak melarang kami menyewakan tanah jika dibayar dengan wariq iaitu perak yang dibentuk. Maksud kami memperolehi hasil bahagian ini dan mereka memperolehi hasil bahagian itu ialah kami memperolehi hasil yang diperolehi daripada bahagian ini dan mereka memperoleh hasil yang diperolehi daripada bahagian ini.
4. Hadis riwayat al-Bukhari daripada Abu Hurairah r.a. bahawa
Nabi s.a.w. bersabda:
Allah Taala berfirman: “Ada tiga orang yang akan Aku musuhi pada hari kiamat. Lelaki yang memberi sesuatu dengan menggunakan nama-Ku tetapi kemudian mengkhianatinya. Lelaki yang menjual lelaki merdeka dan dia makan hasilnya. Lelaki yang mengupah seorang upahan dan setelah menggunakannya dia tidak membayar upahnya” 3
Maksud memberi sesuatu dengan menggunakan nama-Ku ialah berjanji atau bersumpah dengan nama Allah. Maksud mengkhianati, ialah memungkiri janji atau pun tidak menunaikan sumpahnya. Maksud menjual lelaki merdeka, ialah dengan mendakwa lelaki tersebut hamba yang dimilikinya kemudian dijual dengan harga tertentu dan dia mengambil bayaran tersebut.
Maksud menggunakannya, ialah menggunakan lelaki itu dengan mengupahnya melakukan kerja tertentu.
1. [Al-Bukhari, Sewaan, Bab mengupah orang musyrikin ketika terdesak, no. 2144]
2. [Mus|im, Jual beli, Bab sewaan tanah dengan emas dan perak. Bab muzara‘ah dan mu‘ajarah, no. 1547 dan 1549]
3. [Al-Bukhari, Sewaan, Bab doa orang yang tidak membayar upah orang yang diupah no. 2150]