Hukum-hukum Berkaitan Pemegang Amanah dan Pegangan Amanah

Hukum-hukum Berkaitan Pemegang Amanah dan Pegangan Amanah

Terdapat beberapa hukum yang berkaitan dengan pemegang amanah dan pegangan amanah. Di sini disebutkan secara ringkas:

1 . Pemegang amanah tidak boleh menyerahkan amanah tersebut kepada orang lain, kerana pewasiat telah memilihnya dan tidak membenarkan orang lain. Hukum ini tertakluk jika amanah ini tidak menyebut sebarang perkara berkaitan peralihan pemegangan amanah, atau ada dinyatakan bahawa amanah ini tidak boleh dipindahkan kepada orang lain. Walau bagaimanapun, jika ia diizinkan dalam amanah ini, maka ia dibolehkan.

2. Amanah boleh dikaitkan dengan sesuatu tempoh masa atau sesuatu syarat. Jika pewasiat berkata: “Saya menyerahkan kepada si fulan sehingga anak saya akil baligh, atau sehingga saudara kandung saya tiba,” maka amanah ini adalah sah.
Begitu juga jika pewasiat berkata: “Jika saya mati, saya menyerahkannya kepada kamu.” Ini diharuskan kerana amanah boleh dilaksanakan pada perkara yang tidak pasti dan kabur, sama sepertimana wasiat. Amanah juga sama seperti imarah.

Nabi s.a.w. telah melantik Zaid bin Haritsah r.a. sebagai ketua dalam peperangan Muktah. Baginda bersabda: –

”Sekiranya Zaid terbunuh, beliau digantikan oleh Jaafar. Sekiranya Jaafar terbunuh, beliau digantikan oleh Abdullah bin Rawahah. “1

3. Jika amanah diserahkan kepada dua orang dengan tidak memberi mereka kebebasan untuk menguruskannya secara berasingan, sebaliknya disyarat agar amanah ini diurus oleh mereka berdua, seperti pewasiat menyebut: “Saya mengamanahkannya kepada Zaid dan Amru,” maka mereka berdua tidak boleh menguruskannya secara berasingan.

Pertama: kerana mereka perlu menurut syarat tersebut. Kedua: atas sebab berhati-hati. Walau bagaimanapun, sekiranya pewasiat ada menyatakan mengenai kebebasan kedua-duanya untuk menguruskan amanah ini, seperti pewasiat berkata: “Saya serahkan mengikut mereka masing-masing, atau pewasiat berkata: Setiap kamu adalah pemegang amanah,” maka harus bagi mereka berdua untuk menguruskannya secara berasingan kerana adanya keizinan pewasiat.

4. Akad kedua-dua belah pihak dalam pegangan amanah ini adalah harus. Oleh itu, pemegang amanah boleh menarik diri daripada amanah ini bila-bila dikehendaki seperti mana dalam masalah wakil. Di sini, pemegang amanah adalah wakil bagi pewasiat. Walau bagaimanapun, penarikan diri ini sah sekiranya dia tidak ditentukan untuk menjalankan amanah ini dan dia tidak merasa bimbang harta pewasiat ini akan hilang diambil oleh hakim atau orang yang zalim. Sekiranya wujud sebarang kekhuatiran, maka tidak harus dia menarik diri dengan memelihara kepentingan anak-anak yatim dan menjauhkan bahaya daripada nyawa dan harta mereka.

5. Bagi amanah yang berkaitan pemeliharaan anak pula, adalah disyaratkan amanah tersebut diserahkan kepada orang yang bertanggungjawab ke atas mereka seperti bapa atau datuk.

Seorang bapa tidak harus mengamanahkan anak-anaknya kepada orang lain, sedangkan datuk mereka masih hidup, kerana tanggungjawab datuk telah ditetapkan oleh syarak. Oleh itu dia tidak boleh memindahkan hak tersebut daripadanya, sama sepertimana masalah menyerah hak wakil untuk mengahwinkan anak.

6. Apabila anak yang diamanahkan itu telah baligh, kemudian dia mempertikaikan perbelanjaan pemegang amanah dengan mendakwa pemegang amanah tersebut boros dalam perbelanjaannya, maka kes ini akan merujuk kepada pengakuan pemegang amanah yang akan diterima kerana dia seorang yang amanah

Jika anak ini menafikan bahawa pemegang amanah telah menyerahkan harta itu kepadanya, maka dakwaan anak tersebut yang akan diterima, berdasarkan kepada firman Allah:

Seterusnya, apabila kamu menyerahkan kepada mereka harta mereka, maka hendaklah kamu adakan saksi-saksi (yang menyaksikan penerimaan) mereka.
(An-Nisa’: 6)

Sebabnya adalah tidak sukar bagi pemegang amanah untuk membuktikan dia telah menyerahkan harta tersebut kepada anak ini.

1 Diriwayatkan oleh Bukhari (4013) di dalan§ [Kitab Maghazi, Bab Perang Muktah].

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *