Wakaf suatu Kebanggaan dan Warisan Muslimin yang Mulia

Wakaf suatu Kebanggaan dan Warisan Muslimin yang Mulia

Wakaf adalah antara amalan mendekatkan diri dan beribadat kepada Allah. Wakaf melambangkan kesucian iman pewakaf, kecenderungannya ke arah kebaikan, kesungguhannya menjaga kebajikan muslimin dan kasih sayangnya kepada umat Islam, generasi Islam seterusnya dan kepentingan mereka.

Umat Islam telah menampilkan teladan yang agung sejak zaman Nabi s.a.w. dalam soal ini. Mereka telah mewakafkan harta mereka yang tak terhingga. Mereka menyerahkan harta mereka yang tak terkira dalam pelbagai bentuk; sekolah, masjid, rumah, klinik, tanah, bangunan, perigi, perpustakaan dan senjata, sama ada untuk saudara mara, fakir miskin, mujahidin, ulamak dan sebagainya.

Tiada suatu sudut hidup ini yang tidak menerima bantuan wakaf ini. Tiada satupun keperluan manusia yang tidak dibantu oleh harta ini. Sekilas pandang kepada dunia Islam akan mempamerkan kepada kita betapa banyaknya harta wakaf ini dan kekayaan yang diwakafkan di jalan Allah. Tidak kira sama ada rakyat mahupun pemerintah, panglima tentera mahupun tentera, peniaga mahupun usahawan, lelaki mahupun wanita hinggakan jumlah harta wakaf yang terhimpun di dalam negara Islam mencapai angka beratus-ratus juta. Sehinggakan setiap rantau terpaksa mengadakan kementerian khusus bagi memelihara harta wakaf ini.

Terdapat beribu-ribu keluarga yang ditanggung oleh harta wakaf ini. Terdapat pelbagai kemudahan dan keperluan rakyat yang hidup dan berkembang melalui harta wakaf. Moga-moga Allah membalas kebaikan orang-orang yang baik ini dan semoga Allah memberi ganjaran dan pahala-Nya.

Malangnya, pada masa kini dan sejak mutakhir ini, semangat Wakaf di kalangan muslimin mula berkurangan. Umat Islam mula kedekut untuk mengeluarkan sedekah jariah ini.

Fenomena yang menyedihkan ini menunjukkan bahawa keinginan untuk mencapai ganjaran dan pahala Allah mula
berkurangan. Ia juga menunjukkan bahawa keimanan kepada akhirat mula luntur dan manusia mula tamak kepada kemewahan dunia. Ia juga menunjukkan bahawa manusia mula alpa dengan dunia yang fana’ ini dan lebih mengutamakannya daripada akhirat.

Benarlah apa yang difirmankan oleh Allah: *

Bahkan kamu mengutamakan kehidupan dunia.
(Al-A’la: 16)

Seolah-olah kita tidak pernah mendengar firman Allah:

Sedangkan akhirat itu lebih baik dan lebih kekal.
(Al-A’la: 17)

Tidak ada sebarang daya dan upaya melainkan dengan izin dan kehendak Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Agung.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *