Khiyar dalam Kontrak Sewa

Khiyar dalam Kontrak Sewa

1. Khiyar Majlis dan Khiyar Syarat

Dalam kontrak sewa tidak wujud khiyar majlis atau khiyar syarat kerana kontrak sewa termasuk di antara kontrak yang berisiko. Ini kerana ia membabitkan barangan yang tidak wujud iaitu perkhidmatan. Perkhidmatan ini tidak wujud ketika kontrak. Walau bagaimanapun ia tetap dibenarkan bertujuan memudahkan orang ramai. Dalam pada itu, khiyar juga berisiko. Dengan ini ia tidak boleh digabungkan kerana ia akan menyebabkan risiko berganda. Tidak sah suatu kontrak yang melibatkan terlalu banyak risiko.

1 Di antara contoh kontrak yang berisiko ialah jual beli berisiko (al-gharar) iaitu jual beli yang harga, atau barangan, atau tempoh, atau kemampuan untuk menyerahkan barang atau harga tidak diketahui. (pent. Lihat Mujam Lughah a/-Fuqaha’)

2. Khiyar Cacat (Aib)

Namun demikian, khiyar cacat wujud dalam kontrak sewa barangan. Apabila berlaku sesuatu kecacatan kepada barangan yang disewa dan memberikan kesan yang ketara kepada nilai khidmat yang ditawarkan antara ketika sempurna dan ketika cacat, penyewa boleh membuat pilihan sama ada meneruskan sewaan atau membatalkannya. Contohnya, seorang penyewa yang menyewa sebidang tanah pertanian, kemudian saliran air ke kawasan tanah ini terputus. Contoh lain, jika penyewa menyewa sebuah kereta, lalu tayar kereta ini rosak dan pemilik tidak berusaha membaiki
kerosakan tersebut. Penyewa tidak perlu membayar jika kontrak tersebut dibatalkan sebelum bermula tempoh penyewaan. Jika kerosakan berlaku dalam tempoh penyewaan, penyewa hanya perlu membayar bayaran sewa yang sepadan. Iaitu membayar sebahagian sewa yang ditetapkan dalam kontrak.

Walau bagaimanapun, khiyar cacat tidak wujud dalam kontrak sewa jaminan. Contohnya, jika pemilik membawa barangan yang akan digunakan perkhidmatannya. Kemudian didapati barangan tersebut cacat, maka pemilik perlu membawa gantiannya kerana barangan yang disewa ini disyaratkan mestilah elok sedangkan pemilik membawa barangan yang tidak elok. Jika penyewa tidak bersetuju, kes ini perlu dirujuk kepada jaminan yang diberikan dan kontrak sewa ini tidak terbatal.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *