Bahagian Bapa dalam Pusaka

Bahagian Bapa dalam Pusaka

Sebagaimana disebutkan sebelum ini, bapa adalah pewaris melalui fardh dan bapa juga ‘ash0bah. Oleh itu dalam pembahagian harta pusaka, terdapat beberapa keadaan yang membabitkan bapa:

Keadaan Pertama: Pusaka melalui Fardh Sahaja

Ini berlaku sekiranya si mati mempunyai furu’ waris lelaki sama ada anak lelaki atau anak lelaki kepada anak lelaki (ibnu ibni).

Keadaan Kedua: Pusaka melalui ‘Ashobah Sahaja

Ini berlaku sekiranya si mati tiada furu’ waris sama ada lelaki atau perempuan seperti anak lelaki (al-ibnu), anak perempuan (al-bint), anak lelaki kepada anak lelaki (ibnul ibni) atau anak perempuan kepada anak lelaki (bintul ibni).

Dalil bagi keadaan pertama ialah firman Allah:

Dan bagi ibu bapa si mati, bagi setiap seorang daripada mereka berdua, satu perenam daripada harta yang ditinggalkan oleh si mati, jika dia mempunyai anak.  (An-Nisa’: 11)

Dalil bagi keadaan kedua pula ialah firman Allah:

Seterusnya, jika si mati tidak mempunyai anak, dan dia diwarisi oleh ibu bapanya, maka bagi ibunya satu pertiga. (An-Nisa’: 11)

Maksudnya, bapa si mati mendapat baki pusaka kerana apabila al-Quran tidak menyebut bahagian bapa, ini bermakna bapa memperoleh baki pusaka iaitu bahagian ’ashobah selepas bahagian ibu.

Keadaan Ketiga: Pusaka melalui Fardh dan ‘Ash0bah

Keadaan ini berlaku sekiranya terdapat anak perempuan (al-bint) atau anak perempuan kepada anak lelaki (bintul ibni); seorang atau ramai bersama bapa. Bapa memperoleh satu perenam (1/6) pusaka melalui fardh kemudian memperoleh baki melalui ‘ashobah jika masih ada baki selepas fardh.

Dalilnya ialah sabda Nabi s.a.w.:

Berikanlah bahagian-bahagian pusaka yang telah ditentukan itu kepada para pemiliknya. Seterusnya, apa sahaja yang berbaki selepas itu, maka ia adalah hak waris lelaki yang terdekat. 1

Dalam kes ini bapa merupakan lelaki yang paling layak. Dia mendapat satu perenam (1/6) melalui fardh, kemudian anak perempuan mengambil bahagian mereka dan akhirnya bapa mendapat baki pusaka melalui ’ash0bah pula.

__________________________

1 Riwayat Bukhari (6351) dalam [Kitab Faraidh, Bab Pusaka Anak Bersama Bapa Dan lbu], Muslim (1615) dalam [Kitab Faraidh, Bab Berikanlah bahagian faraidh kepada yang  layak].

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *