Beberapa Masalah Berkaitan Wakaf

Beberapa Masalah Berkaitan Wakaf

1. Jika pewakaf berkata: “Saya mewakafkan rumah ini untuk anak-anak saya dan cucu-cucu saya,” maka kesemua mereka berhak menerimanya. Hasilnya akan dibahagikan di antara mereka dengan sama rata, tanpa ada perbezaan antara lelaki dan perempuan, antara anak dan cucu. Ini kerana perkataan “dan” di sini membawa maksud bersama-sama, bukannya bergilir mengikut turutan. Demikian menurut pandangan yang sahih di kalangan ulamak usul.

2. Jika pewakaf berkata: “Saya mewakafkan rumah saya ini kepada anak-anak saya,” maka cucu-cucu tidak termasuk
sebagai penerima wakaf, kerana mereka tidak tergolong dalam kata nama “anak.” Hukum ini berlaku sekiranya dia mempunyai anak dan cucu. Namun apabila dia hanya mempunyai cucu (tiada anak), maka cucu-cucunya termasuk dalam maksudnya dan layak menerima wakaf, kerana adanya hubung kait, dan supaya tujuan pewakaf tersebut tidak dibatalkan.

3. Jika dia berkata: “Kebun ini adalah wakaf untuk zuriat saya atau untuk keturunan saya,” maka cucu-cucu daripada anak perempuan dan cucu-cucu daripada anak lelaki, sama ada yang dekat atau yang jauh, lelaki atau perempuan, semuanya termasuk dalam kata-katanya, kerana perkataan tersebut merangkumi mereka.

4. Jika dia berkata: “Saya mewakafkan harta saya kepada kaum keluarga saya yang miskin,” maka semua keturunannya yang miskin sama ada jauh atau dekat, lelaki atau perempuan, waris atau bukan, mahram atau bukan mahram, termasuk dalam maksud pewakaf.

5. Kata sifat yang di awal ayat merangkumi segala golongan yang dinyatakan. Contohnya dia berkata: “Saya mewakafkan tanah ini untuk mereka yang berhajat di kalangan anak-anak saya, cucu-cucu saya dan saudara-mara saya.” Kata sifat “yang berhajat” menjadi identiti mereka semua. Begitulah juga sekiranya kata sifat yang di akhir. Contohnya, dia berkata: “Saya mewakafkan rumah ini untuk anak-anak saya, cucu-cucu saya dan saudara-mara saya yang miskin.”

6. Wakaf yang ditujukan untuk kaum keluarga, anak-anak, cucu-cucu dan zuriat dikenali sebagai “wakaf zuriat” atau “Wakaf keluarga.”

Sementara wakaf yang ditujukan untuk sesuatu pihak atau kepentingan, seperti masjid atau sekolah, ulamak atau fakir miskin pula dikenali sebagai “wakaf kebajikan.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *