Pengawasan Harta Wakaf

Pengawasan Harta Wakaf

Harta Wakaf memerlukan pengawasan yang cukup bagi segala urusan dan keperluannya, di samping menjamin hasilnya diserahkan kepada pihak yang ditetapkan oleh pewakaf.

Pihak yang Layak Mengawasi Harta Wakaf

Orang yang paling berhak mengawasi harta Wakaf ialah orang yang ditetapkan sendiri oleh pewakaf.

Jika pewakaf mensyaratkan pengawasannya dilakukannya sendiri maka dia bertanggungjawab mengawasinya dan sememangnya dialah orang yang paling layak. Jika dia mensyaratkan kepada orang lain, seorang atau lebih, sama ada dia menyerahkannya ketika hayatnya atau melalui wasiatnya, maka syarat tersebut perlu dipatuhi, kerana dia telah menjadikan sedekahnya sebagai taqarrub kepada Allah.

Oleh itu, syaratnya mengenai pengawasan perlu dipatuhi termasuklah syarat penggunaannya. Jika dia menyerahkan
pengawasannya kepada seseorang, lalu dia mati, maka pengawasan ini diserahkan kepada si fulan tadi. Ini adalah harus bagi melaksanakan kehendaknya agar harta wakafnya diawasi.

Umar r.a. pernah mengawasi urusan sedekahnya sendiri. Kemudian diserahkannya kepada anak perempuannya Hafshoh r.ha. sehingga Hafshoh meninggal dunia. Kemudian ia diserahkan kepada orang-orang yang bijak pandai di kalangan keluarganya.1

1 Hadis diriwayatkan oleh Abu Daud (2879) di dalam [Kitab Wasiat, Bab Hadis Berkenaan Lelaki Yang Mewakafkan Harta].

Jika pewakaf tidak mensyaratkan pengawasannya kepada sesiapa, maka pengawasannya diserahkan kepada al-Qadhi (hakim/pemerintah), kerana dia bertanggungjawab mengawasi semua perkara, dan dia orang yang paling Iayak untuk mengawasi Wakaf ini.

Syarat-syarat Pengawas Harta Wakaf

Bagi melayakkan diri untuk mengawasi harta Wakaf ini mereka perlu memenuhi syarat-syarat berikut:

1. Adil iaitu beristiqamah dengan pegangan agama. Disyaratkan sifat adil ini kerana pengawasan adalah tanggungjawab dan tanggungjawab tidak boleh dipegang oleh orang yang tidak adil.

2. Berkemampuan iaitu mempunyai kekuatan dan keupayaan untuk menjalankan pengawasannya di samping membimbing ke arah penggunaan yang terbaik.

Jika kedua-dua syarat ini tidak dapat dipenuhi oleh pengawas tersebut maka pemerintah akan menarik balik dan mengawasinya sendiri atau menyerahkannya kepada sesiapa yang dikehendakinya.

Jika kekurangan ini telah diatasi oleh orang ini dan kembali memenuhi syarat tersebut maka hak pengawasan diserahkan kembali kepadanya. Demikian hukumnya jika dia disebut sendiri oleh pewakaf sebagai pengawasnya.

Hendaklah segala tindakannya demi kebaikan dan keperluan harta Wakaf kerana dia bertanggungjawab mengawasi kepentingan orang lain sama seperti penjaga anak-anak yatim.

Tugas Pengawas Harta Wakaf

Pengawas harta Wakaf mempunyai tugas-tugas tersendiri. Secara ringkas disebutkan di sini:

1. Menguruskan hal ehwal berkaitan harta Wakaf tersebut termasuklah pembangunan, penyewaan, mengutip hasil
dan membahagikan hasilnya kepada mereka yang berhak, menyimpan sumber dan hasil sebagai simpanan. Dia dipertanggungjawab untuk menjalankan urusan sedemikian. Segala tindakan ini diuruskan oleh pengawas tersebut
sekiranya dinyatakan oleh pewakaf. Jika pewakaf hanya menyerahkan sebahagian urusan kepada dia, maka dia hanya bertanggungjawab menguruskannya menurut syarat pewakaf. Ketika ini, dia seolah-olah wakil yang hanya menguruskan sesuatu dalam batas yang ditetapkan.

2. Jika pewakaf mensyaratkan dua orang pengawas, maka mereka berdua tidak boleh menguruskannya secara berasingan, selagimana tidak disebutkan sebaliknya. Jika ada dinyatakan, bolehlah mereka menguruskannya secara berasingan.

Upah Pengawas Harta Wakaf

Jika pewakaf mensyaratkan sebahagian hasil untuk pengawas, maka ia diharuskan, dan dia boleh mengambilnya. Jika tidak disebut oleh pewakaf, maka tiada upah untuk pengawas.

Jika pengawas tersebut membangkitkan perkara ini kepada pemerintah dan meminta agar ditetapkan upahnya, maka harus bagi pemerintah menetapkan upah yang munasabah untuk pengawas tersebut. Ini jika tidak terdapat sesiapa yang boleh mengawasinya tanpa upah. Pengawas juga boleh mengambil hasil dari harta Wakaf dengan cara yang wajar, sebagaimana kata Umar r.a.: “Tidak mengapa bagi orang yang mengawasinya untuk makan hasilnya
dengan cara yang wajar.”

Pertelingkahan antara Pengawas dan Penerima Wakaf berkenaan Perbelanjaan

Apabila pengawas tersebut mendakwa telah menyerahkan hasil wakaf kepada mereka yang berhak tetapi mereka menafikannya, jika penerima merupakan orang yang dikhususkan, maka dakwaan mereka diterima. Seterusnya mereka berhak meminta dilakukan audit.

Jika penerima bukan orang yang dikhususkan, maka pemerintah berhak meminta dilakukan audit. Audit itu diterima jika ada kemungkinan kiraannya tepat. Jika pemerintah meraguinya, pengawas itu hendaklah diminta bersumpah.

Pemecatan Pengawas

Pengawas Wakaf akan terlucut jawatannya jika dia kehilangan syarat-syarat kelayakan yang disebutkan sebelum ini. Di samping itu, dia juga boleh dipecat oleh pewakaf, dan pewakaf boleh menggantikannya dengan orang lain. Kedudukan pengawas waktu sama seperti kedudukan wakil.

Dalam masalah wakil, pewakil boleh memecat wakilnya pada bila-bila masa. Walau bagaimanapun, keadaan ini berbeza sekiranya pewakaf mensyaratkan pengawas tertentu secara khusus ketika memberikan Wakaf tersebut. Pengawas ini tidak boleh dipecat, walaupun ada maslahat tertentu, kerana tiada sebarang perubahan boleh dibuat pada syarat yang dinyata ketika akad.

Contohnya pewakaf mewakafkan sesuatu untuk anak-anaknya yang miskin. Kemiskinan merupakan syarat, dan syarat ini tidak boleh ditukarkan dengan anak-anaknya yang kaya. Ini kerana sebagaimana yang telah dinyatakan tiada perubahan boleh dibuat pada syarat yang dibuat ketika akad.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *