Permulaan Wakaf dan Kesinambungannya

Permulaan Wakaf dan Kesinambungannya

Terdapat pelbagai hukum berkaitan permulaan dan kesinambungan sesuatu harta wakaf.

1. Jika Wakaf tersebut diberikan kepada sesuatu yang wujud tetapi ia tidak kekal, seperti pewakaf berkata: “Saya mewakafkan perpustakaan ini untuk anak-anak saya, atau untuk Zaid kemudian diserahkan kepada keturunannya,” dan tidak pula disebutkan siapa selepas mereka, maka Wakaf ini sah. Ini kerana tujuan Wakaf ialah mendekatkan diri dengan Allah dan mencari pahala yang berterusan. Apabila telah dinyatakan pemegangnya dari awal maka mudahlah ia diteruskan untuk tujuan kebaikan.

Jika orang yang disebutkan tersebut meninggal dunia, maka harta tersebut kekal sebagai harta Wakaf, dan ia diserahkan kepada orang yang paling hampir dengan pewakaf pada ketika kematian penerima Wakaf asal. Ini kerana sedekah kepada kaum keluarga adalah amalan yang terbaik, dan sedekah kepada kaum keluarga adalah sedekah yang berpanjangan, sebagaimana yang disebutkan dalam hadis Rasulullah s.a.w.:

Sedekah kepada orang miskin dikira satu sedekah. Sementara sedekah kepada kaum keluarga, dikira dua ibadat: sedekah dan silaturrahim.

1.Riwayat Tarmizi (658) dengan sanad hasan di dalam [Kitab Zakat, Bab Hadis Berkenaan Sedekah kepada Kaum Keluargal, Nasaie (5/92) di dalam [Kitab Zakat, Bab Sedekah Kepada Kaum Keluarga] dan lbnu Majah (1844) di dalam [Kitab Zakat, Bab Kelebihan Sedekah] kesemua hadis ini daripada Salman bin Amir
Di sini Wakaf tersebut dikhaskan untuk fakir miskin yang ada hubungan kekeluargaan dan bukan waris, di mana didahulukan anak lelaki kepada saudara perempuan sebelum anak lelaki kepada bapa saudara.

2. Jika Wakaf tersebut terputus sejak awal, seperti pewakaf berkata: “Rumah ini untuk anakku yang akan lahir kemudian ia diserahkan kepada fakir miskin,” maka Wakaf untuk orang yang pertama terbatal. Ini kerana ia tidak boleh dilaksanakan ketika itu sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini. Wakaf yang kedua juga terbatal kerana Wakaf kedua bergantung kepada Wakaf pertama. ‘

3. Jika Wakaf tersebut terputus di tengah, seperti pewakaf berkata: “Saya mewakafkan kedai ini untuk anak-anak Khalid kemudian untuk seorang lelaki kemudian untuk fakir miskin,” maka Wakaf sebegini sah. Ini kerana ada pemegang Wakaf ketika itu dan penghujungnya. Selepas anak-anak Khalid, harta Wakaf itu diserahkan kepada fakir miskin, bukan kepada orang yang paling hampir kepada pewakaf, kerana tidak diketahui jangka masa yang terputus itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *