Syarat-syarat Harta yang Diwakafkan

B. Syarat-syarat Harta yang Diwakafkan

Harta yang diwakafkan pula perlu memenuhi beberapa syarat:

1. Harta yang diwakafkan mestilah berbentuk objek yang tertentu. Maka tidak sah hanya mewakafkan rnanfaat sesuatu harta tanpa mewakafkan objeknya, sama ada manfaatnya berbentuk sementara, seperti mewakafkan rumah untuk digunakan selama setahun; ataupun dalam bentuk kekal, seperti mewakafkannya untuk digunakan selama-lamanya.

Dalam hal ini, objek adalah perkara pokok, dan manfaat adalah cabang sampingannya. Cabang akan sentiasa mengikut pokok. Jadi selagi mana hak miljk asal masih di tangan pewakaf, maka manfaatnya juga masih menjadi hak milik pewakaf. Kedua-dua aspek ini tidak dapat dipisahkan melalui wakaf.

Selain itu, tidak menentukan harta mana yang hendak diwakafkan juga adalah tidak sah. Sekiranya pewakaf mewakafkan salah satu daripada rumahnya atau salah sebuah kenderaannya tanpa menentukan yang mana satu yang diwakafkan, maka tidak sah. Sebabnya, beliau tidak menentukan apa yang diwakafkan, seolah-olah beliau hanya bergurau, bukannya bersungguh.

2. Harta yang diwakafkan hendaklah milik pewakaf dan boleh dipindah milikkan. Harta ini hendaklah memberikan faedah atau manfaat.

Dengan ini, tidak sah mewakafkan harta yang bukan milik pewakaf. Wakaf bermakna memindahkan hak milik sesuatu harta daripada tangan pewakaf. Bagaimana beliau boleh memindahkan hak milik sesuatu yang bukan miliknya. Ini bermakna mewakafkan harta yang bukan milik pewakaf adalah perbuatan sia-sia.

Sehubungan dengan itu, tidak sah seseorang yang merdeka mewakafkan dirinya sendiri, kerana dirinya bukan menjadi miliknya. Sebaliknya dirinya adalah milik Allah s.w.t..

Begitu juga tidak sah mewakafkan kandungan haiwan yang hamil tanpa mewakafkan ibunya sekali, kerana kandungan tersebut tidak boleh diwakafkan selagi mana ia berada di dalam perut ibunya. Hanya sekiranya’ diwakafkan ibunya sekali barulah sah wakafan kandungan tersebut.

Dalam pada itu harta yang diwakafkan itu diwajibkan mempunyai nilai atau faedah yang boleh dimanfaatkan. Sekiranya seorang itu mewakafkan sebidang tanah yang tidak sesuai untuk bercucuk tanam mahupun untuk pembinaan, ataupun beliau mewakafkan pakaian yang telah koyak rabak yang tidak boleh digunakan lagi, maka Wakaf sepérti ini adalah tidak sah. Ini kerana wakaf disyariatkan bertujuan untuk menikmati manfaat. Mewakafkan harta yang sedemikian tidak mendatangkan sebarang faedah atau manfaat.

3. Harta yang diwakafkan itu boleh digunakan selama-lamanya. Tidak sah mewakafkan makanan atau yang seumpama, jika manfaat daripadanya hanya akan didapati setelah dimusnahkan harta tersebut.

Selama-lamanya di sini adalah relatif bukan membawa maksud kekal selama-lamanya. Dengan kata lain, harta ini boleh kekal menjangkaui satu tempoh di mana ia boleh menghasilkan sesuatu atau hasilnya menyamai sesuatu upah. Mewakafkan sebuah kereta atau seekor haiwan adalah sah walaupun faedah sebuah kereta tidak kekal selama-lamanya kerana ia mungkin rosak atau binasa. Begitulah juga dengan haiwan.

Seperkara lagi, tidak disyaratkan faedah harta tersebut perlu diperolehi serta-merta. Cukup sekadar ia boleh dimanfaatkan walaupun pada masa akan datang. Mewakafkan seekor haiwan yang masih kecil adalah sah, kerana ia boleh dimanfaatkan di kemudian hari.

4. Penggunaan harta wakaf tersebut mestilah diharuskan oleh syarak. Mewakafkan harta yang hanya boleh digunakan untuk perkara yang diharamkan seperti alat-alat hiburan atau sebagainya adalah tidak sah. Ini kerana wakaf bertujuan untuk taqarrub dan maksiat menafikan matlamat tersebut.

Pemerintah atau Khalifah Islam Mewaka/kan Harta Baitul Mal

Ulamak-ulamak mazhab Syafie mengharuskan pemerintah Islam atau Khalifah Islam untuk mewakafkan sebahagian tanah milik Baitul Mal Islam sekiranya ini boleh membawa kebaikan kepada orang-orang Islam.

Amalan ini dikecualikan daripada syarat harta itu mestilah hak milik pewakaf. Khalifah bukan pemilik harta-harta di dalam Baitul Mal, cuma ulamak rnengharuskannya. Mereka menjadikan tindakan Umar bin al-Khattab yang mewakafkan tanah-tanah di Iraq sebagai hujah.

Imam an-Nawawi rhm. menyebut dalam kitab Raudhah: “Sekiranya pemerintah berpendapat perlu mewakaikan tanah hasil rampasan perang sebagaimana yang dilakukan oleh Umar, maka ia diharuskan dengan syarat mereka yang berperang itu bersedia menyerahkan hak mereka sama ada dengan menerima pampasan atau sebagainya.”

Wakaf Harta Tidak Alih

Adalah sah mewakafkan harta tidak alih sama ada dalam bentuk tanah, rumah, premis perniagaan, perigi atau mata air, walau bagaimana keadaan sekali pun tanah, rumah, premis, perigi atau mataair tersebut. Selagimana ia boleh mendatangkan faedah sama ada pada ketika itu juga atau kemudiannya.

Hukum ini berdasarkan kepada al-Quran, as-Sunnah dan amalan para sahabat. Saya telah pun sebutkan sebelum ini kata-kata Jabir r.a.: “Tiada seorangpun di kalangan para sahabat yang berkemampuan tetapi tidak mewakafkan hartanya.” Begitu juga kata-kata Syafie rhm.: “Aku mendapat tahu bahawa 80 orang sahabat di kalangan Anshor telah bersedekah dengan sedekah-sedekah muharrimat,” maksudnya mewakafkan harta.

Sebagaimana yang diketahui umum kebanyakan harta yang diwakafkan adalah berbentuk tanah, rumah atau perigi.

Wakaf Harta Alih

Mewakafkan harta alih seperti haiwan, kenderaan, pakaian; peralatan perang, berus, bejana dan buku yang bermanfaat adalah sah.

Ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w.:

Sesiapa yang mewakafkan seekor kuda di jalan Allah kerana keimanan kepada Allah dan percaya kepada janji-Nya, maka sesungguhnya kekenyangan, kehilangan dahaga, tahi dan kencing kuda itu akan diletak di atas timbangan amal kebajikannya pada Hari Kiamat.1

1 Diriwayatkan oleh Bukhari (2698) di dalam [Kitab Jihad, Bab Orang Yang Mewakafkan Kuda] dan Nasaie (6/225) di dalam [Kitab Kuda, Bab Makanan Kuda] daripada Abu Hurairah r.a.
Abu Hurairah r.a. berkata:
Adapun Khalid, maka sesungguhnya kamu semua menzalimi Khalid. Kerana beliau telah mewakafkan baju-baju besi dan alat-alat perangnya di jalan Allah 2

2 Diriwayatkan oleh Bukhari (1399) di dalam [Kitab Zakat, Bab Firman Allah s.w.t. “Dan pada Hamba… dan pada jalan Allah] dan Muslim (987) di dalam [Kitab Zakat, Bab Menyegerakan zakat atau menahannya]

Wakaf Musya’

Musya’( ) ialah harta yang menjadi milik bersama dengan orang lain tanpa dapat dipisahkan antara satu sama lain.

Harta Musya’ boleh diwakafkan sama ada ia berbentuk harta alih atau harta tidak alih, sama ada seorang sahaja yang mewakafkan bahagiannya, ataupun sekumpulan yang mewakafkan bahagian mereka. Ianya sama dan diharuskan oleh syarak.

Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar r.huma.:

Umar r.a. berkata kepada Nabi s.a.w.: “Sesungguhnya seratus bahagian yang menjadi hak saya di Khaibar merupakan harta yang paling saya sukai, dan saya mahu sedekahkannya.’Lalu Nabi s.a.w. bersabda: ”Wakafkanlah tanahnya, dan sedekahkanlah buah-buahannya. “1

1 Diriwayatkan oleh Nasaie (6/230 dan 231) di dalam [Kitab Wakaf, Bab Bagaimana Wakaf Didaftar] daripada lbnu Umar r.a.

Anas r.a. berkata:
Nabi s.a.w. telah memerintahkan agar dibina masjid. Baginda bersabda: “Wahai Bani Najjar, tawar-menawarlah denganku pada harga kebun kamu ini.”Mereka menjawab: “Demi Allah, kami tidak akan menuntut bayarannya melainkan daripada Allah. ”2

2 Diriwayatkan juga oleh Bukhari (2619) di dalam [Kitab Wasiat, Bab Harus Jika Beberapa Orang Mewakafkan Tanah Musyak]

Al-Khatib asy-Syarbini rhm. menyebut di dalam kitabnya ‘Mughni al-Muhtaj ila Ma ‘rifati Ma ‘ani Alfazh al-Minhaj’ karangan Imam an-Nawawi rhm.: “Semua ulamak Islam pada sepanjang zaman telah bersepakat pendapat bahawa harus mewakafkan tikar dan lampu untuk masjid, tanpa ada sesiapa yang membangkangnya.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *