Penghalang Pusaka

Penghalang Pusaka

Definisi Penghalang

Penghalang ( ) daripada segi istilah bermaksud sesuatu yang kewujudannya mewajibkan ketiadaan sesuatu yang lain, tetapi ketiadaannya tidak menghalang kewujudan atau ketiadaan sesuatu yang lain. Contohnya perhambaan. Kewujudan perhambaan pada seseorang mewajibkannya tidak berhak menerima pusaka, tetapi ketiadaannya tidak bermakna dia wajib menerima pusaka atau  tidak.

Penghalang Pusaka Ada Tiga:

1. Segala bentuk perhambaan. Ia adalah kelemahan hukmi yang wujud pada seseorang kerana kekufuran. Halangan ini dalam dua sudut. Seorang hamba tidak mewarisi harta, kerana jika dia boleh mewarisi, sudah tentu yang diwarisi akan menjadi milik tuannya. Juga kerana dia orang yang asing kepada si mati.
Hamba juga tidak boleh mewariskan hartanya, kerana tidak memiliki apa-apa. Malah harta dan dirinya sendiri milik tuannya.
Walau bagaimanapun, hamba muba‘adh ( ), iaitu yang merdeka pada sebahagian dirinya dan menjadi hamba pada sebahagian yang lain, boleh mewariskan hartanya bahagiannya yang merdeka. Harta tersebut hendaklah kepada warisnya.
2. Bunuh. Pembunuh tidak boleh mewarisi harta orang yang dibunuh, sama ada dia membunuh dengan niat atau tidak, sama ada dengan hak atau tidak. Termasuklah jika dia menjatuhkan hukuman bunuh ke atas si mati, atau dia menjadi saksi menyebabkan hukuman mati dijatuhkan kepada simati, ataupun dia memberi sokongan (tazkiyah) kepada saksi tersebut. Ini kerana bunuh dianggap memutuskan hubungan saudara, dan hubungan saudara adalah salah satu sebab yang membolehkan pewaris mewarisi harta.

Rasulullah s.a.w. bersabda: ~

Pembunuh tidak layak menerima apa-apa (daripada harta pusaka).

Rasulullah s.a.w. juga bersabda:

Pembunuh tidak boleh mewarisi (apa -apa harta pusaka)

Walau bagaimanapun, orang yang dibunuh boleh mewarisi pembunuhnya. Contohnya, apabila seorang anak mencederakan bapanya sehingga menyebabkan kematian bapanya, kemudian si anak mati sebelum bapanya, maka si bapa boleh mewarisi harta anak yang membunuhnya, kerana tiada sebarang halangan yang menghalangnya daripada menerima pusaka anaknya.

3. Perbezaan agama antara Islam dengan kufur. Orang kafir tidak boleh mewarisi harta orang Islam, dan orang Islam tidak boleh mewarisi pusaka orang kafir, kerana hubungan antara mereka telah terputus.

Rasulullah s.a.w. bersabda:

Seseorang muslim tidak boleh mewarisi pusaka seseorang kafir, dan seseorang kafir tidak boleh mewarisi pusaka seseorang muslim.‘

Dalam kes ini, murtad juga dianggap kafir. Orang yang murtad tidak boleh mewarisi pusaka dan tidak boleh diwarisi. Malah hartanya dianggap sebagai harta fai‘ ( ) dan diserahkan kepada Baitul Mal, sama ada harta tersebut diperolehi ketika masih Islam atau setelah murtad.

Adapun orang-orang kafir, maka mereka boleh mewarisi harta waris mereka walaupun berbeza agama. Seorang Kristian boleh mewarisi pusaka seorang Yahudi. Orang Yahudi boleh mewarisi pusaka orang Majusi, dan orang Majusi boleh mewarisi pusaka penyembah berhala. Begitulah sebaliknya. Dalam soal pusaka, semua orang kafir adalah sama sahaja.

Allah berfirman:

Maka tidak ada lagi sesudah kebenaran itu melainkan kesesatan semata-mata. Oleh itu, bagaimanakah kamu boleh terpesong (daripada kebenaran)  (Yunus: 32)

Walau bagaimanapun, dalam kes hak pusaka sesama kafir, para ahli fikah mengecualikan hak pusaka antara kafir zimmi dan kafir harbi. Mereka berpendapat bahawa kafir zimmi dan kafir harbi tidak boleh mewarisi pusaka antara satu sama lain, walaupun mereka berdua menganut agama yang sama, seperti kedua-duanya beragama Yahudi, kerana hubungan wala‘ antara mereka telah terputus.

Ar-Rahabi rhm. menyebut dalam nazam Rahabiyyah karangannya:

Seseorang itu dihalang daripada mewarisi pusaka oleh salah satu daripada tiga sebab: perhambaan, pembunuhan dan perbezaan agama.
Oleh itu, fahamlah, kerana keraguan tidaklah sama seperti yakin.

1 RiwayatAbu Daud (4564) dalam [Kitab Diyat, Bab DiyatAnggota Badan] Amru bin Syuaib daripada bapanya daripada datuknya

2 Riwayat Bukhari (6383) dalam [Kitab Faraidh, Bab Muslim Tidak Boleh Mewarisi Kafir Dan Kafir Tidak Boleh Mewarisi Muslim], Muslim (1614) di awal [Kitab Faraid]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *