Pengakuan berbeza antara pemilik dan penyewa dalam kes pemulangan atau kerosakan
i. Dakwaan rosak
Jika barangan yang disewa rosak atau cacat dalam tangan penyewa dan penyewa mendakwa dia tidak menyalah gunakannya, sebaliknya ia disebabkan oleh bencana alam iaitu sebab yang di luar kehendaknya, ataupun ia disebabkan oleh faktor yang dibenarkan oleh penggunaan biasa. Sementara pemilik pula mendakwa ia berlaku disebabkan oleh salah guna penyewa akibat penggunaan yang berlebihan atau kecuaian atau tidak menjaga barangan yang disewa dengan baik.
Dalam kes ini pengakuan yang akan diterima ialah pengakuan penyewa dan diperakui selepas dia bersumpah. Ini kerana pemilik membuat dakwaan wujudnya salah guna sementara penyewa menafikannya dan mendakwa penyalah gunaan tidak wujud. Jadi, mengikut hukum asal, salah guna tidak wujud dan tiada siapa yang dipertanggungjawabkan. Dengan ini, pengakuan yang diterima ialah dakwaan asal yang disokong oleh sumpahnya.
ii. Dakwaan pemulangan
Jika pemilik dan penyewa berbeza pengakuan. Contohnya, penyewa mendakwa dia telah memulangkan barang yang disewa kepada pemilik, namun pemilik menafikannya dan berkata: Anda tidak pulangkan kepada saya. Pengakuan pemilik akan diterima jika disokong oleh sumpah. Ini kerana penyewa memegang barangan yang disewa untuk mendapatkan khidmatnya. Pada asalnya tiada sebarang pemulangan dan penyewa adalah orang yang mendakwa.
Dengan ini, pengakuan yang diterima ialah pengakuan orang yang menafikannya dengan disokong oleh sumpah. Jadi pengakuan pemilik akan diterima kerana dia menafikan wujudnya pemulangan dan dakwaannya ini sesuai dengan hukum asal iaitu pemulangan tidak dilakukan.